Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad dan pengendali operasi perkhidmatan bas Rapid KL, bas perantara LRT dan MRT, telah mengambil insiatif untuk menyediakan kemudahan Van Perantara LRT bagi laluan baru yang sebelum ini tidak dapat dilalui oleh bas Rapid KL kerana adanya jalan-jalan yang terlalu sempit bagi kenderaan yang lebar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij, perkhidmatan percubaan van perantara LRT bermula pada 16 November lalu sehingga 16 Mac 2021 iaitu selama empat bulan. Ia akan menggunakan tiga buah van berwarna merah jambu dan berkapasiti 10 orang penumpang.

“Sebagai peringkat percubaan, van berkenaan adalah bagi laluan T252 dari PPR Sungai Bonus ke LRT Wangsa Maju (melalui PPR Desa Rejang). Laluan T252 ini merupakan laluan baru yang sebelum ini tidak dapat dilalui oleh bas Rapid KL kerana adanya jalan-jalan yang terlalu sempit bagi kenderaan yang lebar.

“Kami berharap penduduk di sekitar laluan baru ini dapat mencuba perkhidmatan ini serta memberikan maklum balas kepada kami mengenai T252 ini,”ujarnya.

Perkhidmatan ini disediakan setiap 20 minit dari jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam dengan kadar tambang RM1 melalui kaedah pembayaran pas tanpa had My30, Touch ‘N Go dan Kad Konsesi sahaja.

Bagi mengetahui lokasi semasa van, pelanggan digalakkan menggunakan aplikasi Google Maps atau Moovit atau melayari portal MyRapid Bus Kiosk.

“Segala maklumat dan maklum balas yang dikumpulkan akan dianalisis bagi tujuan pertimbangan Prasarana sama ada akan meneruskan atau mengembangkan perkhidmatan van perantara ini pada masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus, En. Muhammad Yazurin Sallij.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03- 7885 2585 atau melalui laman media sosial Rapid KL atau e-mel ke suggest@rapidkl.com.my.