Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengedarkan data jualan kenderaan bagi Oktober 2020, dan angka prestasi bagi bulan berkenaan dilihat lebih tinggi berbanding September. Sebanyak 56,670 unit kenderaan telah dihantar pada bulan lalu, di mana ia melibatkan lebih 226 unit atau 0.4% berbanding 56,444 unit yang terjual pada September.
Angka jualan pada bulan tersebut juga dilihat lebih. baik sedikit berbanding pada tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan sejumlah 53,870 unit. Ini bermakna jualan pada Oktober 2020 adalah lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2019 dengan jurang sebanyak 2,800 unit atau pun lebih 5.2%. Walau bagaimana pun, angka bagi 10 bulan tahun 2020 tidak setanding prestasi yang sama yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2019. Dalam tempoh itu, sebanyak 398,159 unit dicatatkan sepanjang 10 bulan pertama 2020, iaitu kurang 98,696 unit berbanding 496,855 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut MAA, prestasi jualan pada Oktober 2020 turut disumbang oleh pengecualian cukai jualan (SST) yang masih berlangsung sehingga 31 Disember ini, serta pelbagai pelancaran model baharu dan juga kempen promosi yang dianjurkan oleh syarikat pengeluar kereta.
Namun demikian, MAA menjangkakan jumlah jualan bagi November 2020 bakal lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di beberapa buah negeri. Hasilnya turut menyebabkan jumlah kunjungan ke bilik pameran juga berkurangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.