Westar Maxus telah mengumumkan bahawa model Maxus T60 4WD Automatik kini dijual di Malaysia. Trak pikap berkenaan dipertontonkan pada Jun tahun lalu, dan ketika itu dimaklumkan pelancarannya adalah pada hujung tahun yang sama. Ketika itu juga, pemasangan tempatan bagi model ini dimaklum akan bermula pada suku keempat tahun lalu.

Ada beberapa perubahan sejak penampilan berkenaan. Dengan ukuran dimensi 5,365 mm panjang, 1,844 mm tinggi dan 2,145 mm lebar, dua versi T60 sepatutnya ditawarkan ketika pengenalannya – ini melibatkan versi manual dan auto dengan spesifikasi paling tinggi.

Bagaimanapun tidak disebutkan langsung tentang pilihan transmisi enam-kelajuan manual ketika ini termasuk di dalam laman web; ia nampak seperti telah digugurkan, dan hanya versi T60 4WD Automatik sahaja yang ditawarkan secara tunggal.

Tiada perubahan pada unit janaan kuasa, yang menggunakan enjin VM Motori 2.8 liter empat-silinder DOHC VGT turbodiesel yang menghasilkan 150 hp pada 3,400 rpm dan 360 Nm tork dari 1,600 hingga 2,800 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan dari Punch.

Turut disertakan ialah sistem pacuan empat roda kawalan elektronik BorgWarner, yang boleh di aktifkan melalui dail rotari 2H-4H-4L tanpa perlu berhenti. Tiga mod pemanduan disediakan – Normal, Eco dan Power. Turut ada ialah differential lock mekanikal Eaton, yang didakwa oleh Maxus sebagai “yang terbaik di dunia”. Model ini menggunakan rim 19-inci yang baru, menggantikan roda 17-inci sebelum ini, dan dipasangkan tayar 255/55 Continental.

Selebihnya, kelengkapan lain kekal sama; lampu utama LED auto dengan lampu tinggi automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus depan/belakang, landasan aluminium pada bumbung, sports bar logam, pemijak sisi, cermin sisi lipatan elektronik dan alas ruang barangan dengan kapasiti 1,188 liter.

Di dalam, T60 menggunakan balutan kulit hitam untuk kerusi, stereng juga balutan kulit dengan kawalan ketinggian dan suis audio/kawalan melayar, sistem tanpa kunci dengan butang penghidup, pendingin hawa automatik dan skrin sentih bersepadu 10-inci untuk sistem hiburan dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

Turut hadir ialah kamera undur, pengilap cermin automatik, kaca hijau anti-UV dan kerusi depan larasan elektrik sepenuhnya dengan larasan enam-arah bagi pemandu dan empat-arah bagi penumpang depan.

Aspek keselamatan pula, T60 menerima penarafan lima-bintang ANCAP dan datang dengan empat beg udara (depan dan sisi), ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan mula mendaki dan kawalan menuruni cerun. Ia juga dilengkapi dengan ciri roll movement intervention (RMI), yang mengenal pasti kemungkinan kenderaan akan terbalik dan akan mengenakan brek untuk mendapatkan semula kawalan terhadap kenderaan.

Lain-lain kelengkapan termasuk sistem tinjauan tekanan tayar (TPMS), dua cagak Isofix, sensor parkir belakang dan bantuan titik buta. Maxus juga menekankan penggunaan brek cakera di depan dan belakang, yang unik untuk kelas kenderaan ini (kebanyakan trak pikap menggunakan brek dram di belakang).

Enam pilihan warna disediakan, termasuk Obsidian Black, Agate Red, Lava Grey, Blanc White, Aurora Silver dan Ocean Blue. Maxus T60 4WD Automatik dijual pada harga RM99,888 (tanpa insurans dan cukai jalan), tidak lari jauh dari harga anggaran yang disebut tahun lalu.

Trak pikap ini datang dengan jaminan lima-tahun atau 130,000 km serta pakej servis percuma untuk tiga-tahun atau 65,000 km, termasuk alat ganti, pelincir dan kos buruh. Selain itu ada juga bantuan tepi jalan 24/7 di seluruh negara. Senggang jadual servis bagi trak ini lebih panjang, iaitu setiap 15,000 km. Macam mana, rasanya T60 ini boleh jadi pesaing baru dalam segmen trak pikap?

Maxus T60 di Malaysia 2019