Satu lagi siri plat pendaftaran kenderaan khas baharu telah diumumkan. Kali ini dari Universiti Malaysia Kelantan yang menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terkini yang mengeluarkan plat khas ini, di mana siri UMK membawa pada tagline “Untuk Malaysia Ku”.

Bidaan untuk siri plat ini, yang akan memiliki angka 1-9999, telah pun bermula sejak 23 November lalu dan akan berlangsung sehingga 30 November ini, dan dibuka untuk individu mahu pun syarikat. Bidaan hanya boleh dibuat menerusi sistem dalam talian khas uBIDA.

Plat UMK 1 adalah paling bernilai tinggi, dengan bidaan bermula RM100,000, diikuti digit tunggal lain bermula dari RM20,000. Sementara plat dua-digit pula bermula dari RM5,000, dan digit berkembar (UMK 11, 22 dan lain-lain) bermula dari RM15,000.

Selain Universiti Malaysia Kelantan, sebelum ini terdapat beberapa IPTA lain yang turut memperkenalkan siri plat nombor pendaftaran kenderaan khas, termasuklah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).