Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

Generasi Playstation 1 yang bermain permainan video Gran Turismo 2, serta mengikuti perlumbaan All Japan Grand Touring Car (JGTC) tentu kenal dengan jentera lumba Denso SARD Supra GT500 bukan? Sehingga kini, pasukan SARD Racing (kini dikenali sebagai TGR Team SARD) masih lagi berlumba dalam Japan Super GT, dan kini bertarung dengan jentera SARD Kobelco GR Supra.

Dengan pengetahuan yang diperolehi dari dunia perlumbaan, SARD kini memperkenalkan model produksi jalan raya talaan lengkapnya berdasarkan Toyota GR Supra A90, dikenali sebagai SARD Supra. Model ini dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad iaitu 20 unit, dijual pada harga 12.5 juta yen, atau sekitar RM489k.

GR Supra istimewa ini bukan sahaja diberikan rupa yang jauh lebih garang dari model standard, malah turut menampilkan kuasa yang lebih besar, serta diberikan peralatan prestasi dari SARD untuk sistem brek dan juga casis.

Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

Ia masih lagi dijana oleh enjin B58 3.0 liter turbo seperti Supra A90 biasa, namun enjin berkenaan telah diolah semula dengan penggunaan pengecas turbo BorgWarner yang lebih besar, bersama sistem ekzos lengkap SARD termasuk sport catalyzer dan juga muffler SARD Ti-Z yang dihasilkan sepenuhnya dari titanium.

Selepas perubahan hardware ini dibuat, kotak komputer asal turut ditukar kepada unit khas talaan SARD yang mampu memberikan penghasilan kuasa optima. Ini membolehkan enjin berkenaan mengekstrak sejumlah 500 PS pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 686 Nm bermula 3,000 rpm, berbanding jumlah asal 387 PS/500 Nm.

Casis SARD Supra ini turut diperkuat menerusi penggunaan pendakap-pendakap dan bar tambahan terdiri daripada pendakap bawah badan dan juga tower bar unik pada ruang enjin bagi menguatkan bahagian berkenaan dan memperkukuhkan cagak suspensi hadapan. Bar anti-oleng juga telah ditukar kepada komponen yang lebih keras, bersama set suspensi boleh laras SARD Advanced Suspension.

Bagi memastikan kesemua kuasa kuda dapat dialirkan ke permukaan tar, SARD Supra menerima tayar Bridgestone Potenza S007A, bersama rim aloi ringan 20-inci Work Emotion T5R ‘2-piece’ dalam kemasan istimewa hitam matte bersama serlahan biru dan penutup tengah dengan logo SARD.

Saiz roda depan dan belakang pada SARD Supra ini tidak sama, di mana bahagian hadapan diberikan tayar 255/30R20 dengan rim lebar 10 jj, manakala belakang pula lebih besar dengan tayar 275/30R20 dengan rim 10.5 jj.

Rim lima jejari berkenaan turut menyerlahkan set brek gergasi pada bahagian hadapan iaitu cakera 380 mm jenis terapung bersama angkup enam-omboh lengkap dengan pad, kesemuanya keluaran pembekal brek perlumbaan SARD iaitu Alcon.

Toyota SARD GR Supra – 500 PS/686 Nm, RM489k, hanya 20 unit, lahir dari pasukan lumba Super GT

Pada bahagian luaran, SARD Supra ini direka semula ketua pereka Toyota 86 iaitu Takayasu Furukawa, dengan konsep rekaan yang disifatkan sebagai ringkas, sensual dan nampak seperti kereta lumba.

Berbanding model standard, SARD Supra ini diberikan bampar hadapan dengan liang kemasukan udara jauh lebih besar, liang udara tambahan pada bonet enjin, spoiler gentian karbon di belakang, bampar belakang dengan diffuser jauh lebih agresif, serta kit pada fender hadapan dan belakang serta skirt sisi yang membuatkan ia kini 80 mm lebih lebar dari asal.

Tiada perincian penuh diberikan pada bahagian kabin. Namun menerusi gambar yang disiarkan, SARD Supra ini diberikan karpet kaki istimewa berwarna biru, dan juga karpet bahagian kargo berwarna merah dengan kedua-duanya diberikan logo SARD bersaiz besar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required