Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

Honda Malaysia telah mengumumkan panggilan semula terbaharu berkenaan masalah inflator beg udara keluaran Takata yang bermasalah, kali ini membabitkan dua model lama iaitu Honda Accord 1999 (generasi keenam) dan juga Honda CR-V 2000 (generasi pertama).

Panggilan semula kali ini akan melibatkan sejumlah 2,784 kenderaan iaitu 1,380 unit Accord dan 1,404 unit CR-V. Walaupun panggilan semula ini melibatkan komponen yang sama, namun masalah yang timbul adalah berbeza dari panggilan semula sebelum ini.

Kali ini, ia adalah berkenaan beg udara bahagian pemandu yang tidak-azida (NADI), dan panggilan semula ini berlangsung secara global. Inflator beg udara berkenaan dikilangkan tanpa kedapan yang betul, membuatkan udara dan lembapan masuk ke dalamnya, menyebabkan pendorong letupan menjadi lemah.

Oleh itu, ia akan mengakibatkan beg udara berkenaan mengembang dengan lambat ketika berlakunya kemalangan. Ada juga kemungkinan rendah yang menyebabkan beg udara tersebut mengembang terlalu cepat dan menyebabkan letupan dan serpihan logam akan terkena pada pemandu atau penumpang.

Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

Secara ringkas, tidak kira kemungkinan pertama atau kedua yang berlaku, ia boleh menyebabkan pemandu dan penumpang cedera parah atau kehilangan nyawa.

Menurut Honda Amerika Syarikat pada awal tahun ini, kejadian tersebut pernah terjadi di Texas pada 2012. Dua letupan turut pernah dilaporkan terjadi di Jepun sebelum ini ketika kereta-kereta berkenaan di skrap.

Honda Malaysia pula menyatakan bahawa sehingga kini, masih belum ada kejadian yang berpunca dari masalah berkenaan terjadi kepada Accord dan CR-V yang disenaraikan ini di Malaysia. Syarikat berkenaan turut menegaskan bahawa model-model baharu yang sedang dijual tidak terlibat dengan masalah ini.

Pemilik-pemilik kenderaan terbabit akan dihubungi oleh Honda Malaysia menerusi surat, yang turut akan disertakan dengan perincian berkenaan panggilan semula ini. Selepas menerima surat, pelanggan digesa untuk menghubungi mana-mana pengedar Honda secepat mungkin bagi membuat temu janji bagi menukar inflator beg udara bahagian pemandu berkenaan, tertakluk pada stok alat ganti yang tersedia.

Honda Malaysia panggil semula Accord 1999 dan CR-V 2000 berhubung masalah beg udara keluaran Takata

Ahli keluarga dan kenalan yang mengenali pemilik-pemilik kenderaan ini turut diminta untuk memberitahu mereka agar menghubungi pengedar Honda bagi membuat penukaran komponen tersebut. Tiada sebarang caj akan dikenakan kepada pelanggan, dan kesemua kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Syarikat berkenaan turut menyatakan bahawa keselamatan pelanggan dan staf mereka juga akan diambilkira ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19. Jadi, pelanggan perlu membuat temu janji lebih awal bagi memastikan proses penukaran ini dapat berjalan lancar.

Pelanggan juga perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan setiap masa ketika berada di fasiliti pengedar seperti sentiasa memakai pelitup muka dengan betul, mengamalkan penjarakan fizikal serta selalu membersihkan tangan.

Jika anda memiliki kenderaan-kenderaan ini tetapi masih ragu-ragu adakah ia terlibat dengan panggilan semula berkenaan, anda boleh hubungi Honda Malaysia menerusi talian bebas tol 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut, atau layari laman web rasmi Honda Malaysia untuk memeriksa status kenderaan anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required