Honda tak banyak buat model pacuan belakang, tapi sekali-sekala dia buat, model tersebut akan dikenang sebagai lagenda seperti Honda NSX dan juga siri roadster S iaitu S500 hingga S2000. NSX dah pun muncul dalam versi generasi baharu, adakah Honda berminat untuk menghasilkan model generasi seterusnya untuk S2000 setelah produksi model AP2 tamat pada tahun 2009?
Menurut laporan Forbes, sumber yang rapat dengan Honda menyatakan bahawa jenama berkenaan kini sedang serius untuk memperkenalkan Honda S2000 pada tahun 2024 nanti, sempena ulangtahun ke-25 model roadster ikonik tersebut. Keputusan tersebut diambil berdasarkan respon menggalakkan diterima dari model prototaip S2000 20th Anniversary (kemudian komponen akseosori berkenaan diproduksi oleh Modulo untuk dijual) yang muncul pada Tokyo Auto Salon awal tahun ini.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa S2000 generasi baharu berkenaan tidak lagi dijana oleh enjin VTEC dengan jeritan rpm tinggi seperti AP1 dan AP2, sebalik menggunakan enjin dengan kuasa dan tujahan tork lebih tinggi K20C VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type R. Buat masa sekarang, enjin tersebut membekalkan 320 PS/400 Nm.
Enjin berkenaan akan diubahsuai untuk diletakkan secara menegak kebelakang bagi memacu roda belakang, berat keseluruhan tidak akan melebihi 1360 kg dengan penggunaan struktur badan dari material aluminium dan gentian karbon lebih banyak, serta bentuk asal roadster S2000 tersebut juga akan dikekalkan bersama rekaan lampu hadapan lebih nipis, sebut laporan itu lagi.
Dengar macam sedap berita ni kan? Sebenarnya ini bukan kali pertama khabar angin sebegini bertiup. Pada 2017, khabar yang hampir serupa dilaporkan yang mendakwa bahawa S2000 generasi baharu akan dihasilkan Honda juga dengan perincian bahawa ia akan dijana enjin dari FK8 Type R dan kononnya akan didedahkan pada 2018.
Tapi sekarang dah tahun 2020, masih tak nampak bayang. Jadi untuk berita seperti ini, jangan berharap sangat. Kita tunggu isyarat rasmi dari Honda terlebih dahulu.
GALERI: Honda S2000 20th Anniversary Prototype di Tokyo Auto Salon 2020
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.