Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

Kami lihat sendiri prototaip Honda S2000 20th Anniversary di Tokyo Auto Salon 2020 Januari lalu dan tertanya-tanya apa rancangan Honda terhadapnya. Dan kini ia terjawab – pembuat aksesori rasmi Honda dan juga pemilik jenama Modulo iaitu Honda Access telah mengumumkan bahawa akseori prototaip berkenaan secara rasmi akan dijual dalam pasaran Jepun bermula 26 Jun ini.

Untuk pasaran luar Jepun, anda perlu menunggu lebih lama kerana tempahannya hanya akan dibuka pada Februari 2021, dan hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad. Ia juga akan dihasilkan secara eksklusif, di mana akan dibuat berdasarkan tempahan, oleh itu pembeli hanya akan menerima aksesori mereka empat bulan selepas ditempah.

Kit untuk versi produksi ini boleh dikatakan hampir sama dengan versi prototaip yang didedahkan sebelum ini – menampilkan bampar hadapan berbeza – dengan muncung yang lebih panjang (24 mm lebih panjang dari biasa), bersama liang udara yang direka dengan bentuk trapezoid berharga 96,800 yen (RM3,662).

Honda S2000 20th Anniversary – dari prototaip ke produksi, aksesori mula dijual di Jepun Jun ini

Bahagian lain masih lagi sama, kecuali satu lip spoiler berwarna hitam dipasang pada penutup but belakang berharga 46,200 yen (RM1,748), dan juga strake pada hujung belakang bendul sisi berharga 33,000 yen (RM1,248). Kesemua komponen luaran ini datang dengan kemasan akhir hanya cat primer, membolehkan pembeli memadankan dengan warna badan sedia ada kereta masing-masing.

Manakala pada bahagian kabin, kit aksesori ini terdiri dari karpet kaki (kemasan merah atau hitam) berharga 30,800 yen (RM1,165) menampilkan logo S2000 20th Anniversary dan juga lampu LED pada ruang kaki setiap kali pintu dibuka berharga 13,200 yen (RM500).

Selain itu, Honda Access turut menawarkan penutup bumbung dengan logo 20th Anniversary, dan juga penutup pemain audio dengan logo sama berharga 8,800 yen (RM333), tetapi komponen kedua berkenaan hanya dihasilkan sebanyak 2,000 unit.

Bukan sekadar komponen kosmetik, barisan aksesori kali ini juga turut tampil dengan set suspensi sport berharga 170,500 yen (RM6,454). Ia bukan sahaja akan merendahkan S2000 anda 10 mm dari tinggi asal, malah turut boleh dilaras dalam lima peringkat menerusi tombol pelaras pada penyerap hentak hadapan. Ia bukan hanya pilihan komponen paling mahal, malah set suspensi ini juga adalah yang paling terhad kerana hanya dihasilkan 500 set.

Jika anda pemilik S2000 versi facelift dengan kod casis AP2, anda agak bertuah kerana kesemua aksesori ini dapat dipadankan tanpa masalah. Manakala untuk versi asal AP1, kecuali bampar, suspensi dan penutup pemain audio, perkakasan lain yang ditawarkan masih boleh dipadankan.

GALERI: Honda S2000 20th Anniversary Prototype di Tokyo Auto Salon 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required