Mercedes-Benz C300 AMG Line facelift W205 – suspensi sports gantikan Airmatic, harga kini RM292k

Mercedes-Benz C300 AMG Line facelift W205 – suspensi sports gantikan Airmatic, harga kini RM292k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun memberikan peningkatan kecil buat Mercedes-Benz C 300 AMG Line W205, namun menampilkan rombakan besar untuk larasan suspensinya. Ketika dilancarkan pada November 2018, varian C-Class facelift ini didatangkan dengan suspensi Airmatic, namun kini ia digantikan dengan suspensi Sports.

Selain itu, penambahan fungsi informasi Live Traffic turut dimasukkan ke larasan multimedia. Hanya dua ciri tersebut sahaja yang dipertingkatkan untuk model facelift ini. Dengan ketiadaan Airmatic, harga bagi model ini diturunkan. Sebelum ini, C 300 AMG Line dijual pada harga RM293,800 dengan pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember 2020. Kini, ia mengalami penurunan harga sebanyak RM2,000 menjadi RM291,800 (harga atas jalan, tanpa insurans) sehingga hujung tahun ini.

Selain itu tiada perubahan bagi imej, penjana kuasa mahu pun kelengkapan lain. C 300 dilengkapi dengan penjana kuasa M264 2.0 liter twin-scroll turbochaged yang mampu memberikan kuasa hingga 255 hp (258 PS) dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 370 Nm antara 1,800 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan, membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksimum bolegh mencecah 250 km/j.

Antara kelengkapan yang diberikan termasuklah roda AMG lima jejari-berkembar 19-inci dengan balutan tayar 225/40 untuk hadapan dan 255/40 di belakang, dilengkapi kemasan luaran AMG Line, Multibeam LED dengan lampu utama Ultra Range dan bantuan lampu tinggi adaptif serta bumbung suria panoramik elektronik.

Di dalamnya juga ditampilkan dengan kelengkapan AMG Line, termasuklah kemasan kayuan hitam kelabu. Ia turut diberikan tiga pilihan warna (hitam, coklat dan merah) dan kit lain yang ditampilkan termasuklah roda stereng AMG sport dengan balutan Nappa dan sistem Audio 20 GPS bersama sambungan telefon pintar dan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Model ini turut menampilkan sistem bunyi Burmester.

Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, ia diberikan kamera pandangan sekeliling, bantuan kekal lorong aktif, bantuan titik buta, bantuan parkir Parktronic dan bantuan brek aktif.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required