Toyota telah mengumumkan bahawa bekas pemandu utama untuk Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Jari-Matti Latvala akan mengambil tugas prinsipal pasukan tersebut, setelah bos sedia ada iaitu Tommi Makinen dinaikkan pangkat sebagai penasihat untuk sukan permotoran Toyota secara keseluruhan.
Latvala yang baru sahaja berumur 35-tahun walaupun belum pernah menguruskan mana-mana pasukan lumba dipilih sendiri oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda kerana beliau suka akan sikap pemandu rali dari Finland berkenaan ketika masih bertugas sebagai pemandu utama TGR WRT bermula musim 2017 hingga 2018.
“Kemampuannya sebagai pengurus masih lagi belum terbukti, tetapi sifat-sifat yang sama ada pada kami berdua adalah faktor penentu kepercayaan pasukan terhadapnya. Saya percaya ini akan membawa kekuatan kepada pasukan. Apabila memikirkan pasukan baru kami bermula 2021, muka Jari-Matti terus muncul dalam fikiran saya. Itu adalah kerana dalam banyak situasi di mana saya empati kepadanya sejak kami pertama kali kami berjumpa,” kata Akio Toyoda.
“Dia sentiasa memikirkan peminat dan juga rakan-rakan sepasukan. Sebagai salah seorang pemandu utama, saya selalu nampak dia berlari ke arah peminat sejurus selepas dia keluar dari kereta di kawasan servis. Dia ambil berat terhadap semua orang dalam pasukan seperti mekanik dan jurutera dan selalu bercakap dengan mereka. Saya percaya sikap seperti ini dan karekternya akan memperkasakan pasukan serta membantu untuk mendapatkan gelaran juara untuk pengeluar,” tambah bos besar Toyota itu lagi.
Sebelum ini Akio Toyoda pernah menyatakan bahawa Latvala adalah antara penyebab beliau mengambil keputusan untuk membawa semula Toyota ke WRC pada 2017 setelah menarik diri pada tahun 1999. Menurut beliau, ketika beliau ke Finland pada tahun 2014 untuk bertemu Latvala yang ketika itu memandu untuk pasukan Volkswagen, Toyota masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali ke WRC setelah 18-tahun menghilang atau tidak.
“Saya sangat teruja kerana ia adalah acara WRC pertama yang saya hadir dan saya berdiri di lobi hotel dan berjumpa sendiri para pelumba. Jari-Matti merupakan pemandu pertama yang sampai. Ketika saya menegurnya secara teruja, dia menjawab dengan mesra. Ketika berbual, dia melihat saya sebagai seseorang dari Toyota dan gembira bercerita tentang Corolla dan Celica miliknya,” kata Toyoda.
Latvala kemudian diumumkan sebagai pemandu utama Toyota ketika pasukan tersebut mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 buat pertama kali setelah kembali semula ke WRC. “Ketika saya mengetahui Latvala akan menjadi pemandu kami dua tahun kemudian, saya sangat gembira dengan takdir yang sangat bermakna ini,” tambah Toyoda lagi.
Toyoda turut mendedahkan bahawa dia tidak menjangkakan bahawa pasukannya beroleh podium pertama begitu awal setelah Latvala berada di tempat kedua Rali Monte Carlo 2017, iaitu pusingan pertama dalam musim pertama yang mereka sertai.
Walau bagaimanapun, kontrak Latvala sebagai pemandu tidak disambung pada musim 2019, apabila TGR WRT mengambil keputusan untuk menampilkan tiga muka baharu dalam pasukan tersebut iaitu juara dunia enam-kali Sebastien Ogier (sekarang sudahpun tujuh apabila dia dinobatkan sebagai juara dunia 2020), Juara WRC2 2019 Kalle Rovanpera, dan bekas pemandu M-Sport Ford Elfyn Evans.
“Saya berasa amat dihargai untuk mengambil alih tugas ini dengan pasukan, dan dengan kepercayaan Akio Toyoda yang diberikan kepada saya. Saya sangat teruja untuk meneruskan tugas yang telah dimulakan bersama dengan Tommi, setelah menyertai pasukan ini bermula sebagai pemandu,” kata Latvala setelah dilantik ke jawatan prinsipal pasukan berkenaan.
“Sekarang, sebagai prinsipal pasukan, saya perlu lihat pada sudut lebih besar. Saya perlu memotivasikan semua orang dalam pasukan bagi bekerjasama untuk mencapai keputusan terbaik. Ini adalah cabaran baru dan saya bersedia untuknya.
“Tommi telah melakukan tugas yang baik dengan pasukan, membinanya dari kosong dan membawa kepada kejayaan yang telah dicapai. Sudah tentu, ruang untuk memperbaikinya sentiasa ada dan saya mahu gunakan apa yang telah saya belajar selama ini sebagai pemandu untuk berkerjasama dengan pengarah-pengarah pasukan bagi memastikan pasukan ini mencapai kejayaan setinggi yang boleh,” kata Latvala lagi.
Latvala juga sebelum ini telah dinamakan sebagai pemandu WRC paling berpengalaman dengan rekod memulakan sebanyak 209 perlumbaan. Dia telah memenangi sebanyak 18 rali dan sehingga kini masih memegang rekod sebagai pemandu paling muda pernah menjuarai pusingan WRC iaitu di Rali Sweden 2008 pada umur 22 tahun dan 313 hari.
Dia juga mempunyai syarikat dikenali sebagai Latvala Motorsport, menjalankan perniagaan muzium kereta rali yang mempamerkan koleksi peribadinya, serta menjual barangan memorabilia dan cenderamata rasmi.
Ketika tidak bersama TGR WRT pada musim 2020, Latvala berpeluang menyertai WRC pada pusingan Rali Sweden dengan Toyota Yaris WRC atas nama Latvala Motorsport, serta menyertai dan memenangi Askolan Granit Rally di Finland pada Oktober lalu menggunakan Toyota Celica ST165 Group A 1991 (pernah digunakan oleh Carlos Sainz) yang direstorasinya sendiri, menawaskan kereta-kereta R5 yang lebih moden.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.