Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembaikan bagi mengambus jalan berlubang selari dengan kempen “Aku Janji Zero Potholes” yang diperkenalkan semula Julai lalu, lapor Bernama.

Dalam satu kenyataan, JKR menyatakan kempen yang pernah dianjurkan antara tahun 2016 hingga 2018 itu mensasarkan untuk memperkukuh komitmen ke atas penyelenggaraan jalan di negara ini.
“Ini merupakan inisiatif kementerian bersama dengan JKR dan enam pemegang konsesi bagi jalan persekutuan di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Di bawah kempen ini, kerja-kerja mengambus lubang pada permukaan jalan akan dilakukan dalam masa 24-jam selepas ia dikesan atau dilaporkan, dan dalam masa tiga hari bagi kerja-kerja pembaikan kekal di dalam kontrak Penyelenggaraan Jalan Persekutuan,” jelas kenyataan tersebut.

Lubang pada permukaan jalan ini (atau pothole) didefinisikan mempunyai diameter antara 200 hingga 1,000 mm. Sekiranya ia kurang daripada 200 mm, kerja baik pulih tidak akan melibatkan pemotongan, sebaliknya ia akan dikambus segera. Sekiranya diameter lubang mencecah 1,000 mm, ia memerlukan teknik pemotongan sebelum dikambus. “Sekiranya ia lebih besar daripada 1,000 mm, maka ia akan dikenal pasti sebagai kegagalan penurapan.”

Kementerian berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM1.09 bilion untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di negara, termasuk untuk elektrik, lampu isyarat dan lampu jalan bagi tahun 2021. Sebanyak 4,091 aduan berkaitan infrastruktur diterima sehingga 30 November. Daripada jumlah itu, 1,473 aduan berkaitan dengan kerosakan jalan. Semua aduan telah diambil tindakan oleh JKR.