Mitsubishi Outlander Sport 2021, atau dikenali sebagai ASX di pasaran lain, kini mula diperkenalkan untuk pasaran Amerika Utara. Crossover kompak berkenaan merupakan model paling laris jenama itu di rantau itu, dan menampilkan beberapa kemaskini dari aspek keselamatan bagi versi 2021, dengan varian Limited Edition dan Black Edition.

Versi Limited Edition menerima kemasan hitam untuk perumah cermin sisi, gril dan rim aloi 18-inci-nya, sementara bahagian kabin menerima kemasan benang merah pada kerusi, tombol gear, stereng dan tuil brek parkir.

Sementara itu, bagi varian Black Edition, ia menampilkan bukaan udara depan dan belakang rekaan baru, dengan kemasan hitam berkilat dan merah. Ia juga dilengkapi penutup corong minyak aluminium, pelekat hiasan sisi badan, perumah cermin sisi dan pemegang pintu hitam, rim 18-inci hitam, lencana Black Edition dan kemasan hitam bahagian belakang. Pilihan warna dalaman termasuk Red Diamond, Pearl White, Black Labrador dan Sunshine Orange.

Bergantung kepada tahap kemasan, kabinnya menerima sama ada sistem paparan audio tujuh-inci, atau yang lebih canggih, paparan audio Smartphone-link lapan-inci generasi kedua dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi sistem janaan kuasa, tiada perubahan dilakukan, Outlander Sport masih menggunakan sama ada unit 2.0 liter MiVEC empat-silinder petrol dengan output 148 hp dan 197 Nm, atau unit yang lebih besar 2.4 liter MiVEC empat-silinder dengan janaan 168 hp dan 226 Nm tork. Pacuan depan dan pacuan semua roda kekal ditawarkan.

Aspek keselamatan, Outlander Sport 2021 dilengkapi dengan Forward Collision Mitigation (FCM), Lane Departure Warning (LDW) dan Automatic High Beam (AHB). Lain-lain kelengkapan termasuk sensor pengilap cermin, lampu kabus LED, cermin pandang belakang anti-silau dan lampu utama automatik adalah ciri standard untuk semua, kecuali bagi varian S yang paling asas.

Mitsubishi Outlander Sport akan dijual secara rasmi pada Februari, dengan harga bermula dari US$20,995 (RM84k) bagi model paling asas hingga US$26,995 (RM108k) bagi model GT AWC yang paling lengkap.