Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) yang merupakan laluan sambungan utama antara kawasan pantai barat dan pantai timur Semenanjung Malaysia dilaporkan masih lagi ditenggelami air di beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang bagi kedua-dua arah. Dengan paras air tinggi di KM 113 dan KM 115, LPT1 tidak boleh dilalui oleh trafik.

Menurut pengendaliya, Anih Berhad dalam kemaskini status pagi ini, keadaan banjir antara Lanchang dan Karak (KM 84.6) semakin bertambah baik, dengan laluan ke KL telah mula dibuka sejak 9 pagi semalam. Laluan ke Kuantan bagaimanapun masih ditutup kepada trafik.

Dengan E8 ditutup sebahagiannya, Lembaga Lebuhraya Malaysia mencadangkan beberapa laluan alternatif yang melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini disebabkan jalan lama (Laluan 2) juga turut dinaiki air sebahagiannya dari Temerloh ke Lanchang. Bagi yang ingin ke Kuantan dari KL, mereka boleh melalui Simpang Pertang di Negeri Sembilan. Dari situ, hala menuju Muadzam Shah hinggalah ke tol Gambang.

Bagi yang dari Pantai Timur dan ingin kembali ke KL, mereka juga boleh bergerak ke Muadzam Shah sebelum merentas Negeri Sembilan menuju Bahau, Kuala Pilah dan seterusnya Seremban. Bagi mereka yang masih tersangkut dan berada dalam perjalanan tersebut, banyak-banyak bersabar dan sentiasa patuhi arahan lencongan.