Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengesahkan orang ramai yang terkandas di kampung halaman atau pun destinasi percutian sebelum Perintah Kawalan Pergerakan fasa kedua (PKP 2.0) dilaksanakan mulai tengahmalam ini, dibenarkan untuk pulang ke tempat asal dalam minggu ini.

Kenyataan tersebut turut dikongsikan menerusi aplikasi Telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebentar tadi.

Abdul Hamid turut berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut menjangkakan lebih 300 sekatan jalan raya (SJR) bakal dilaksanakan di seluruh negara mulai 12.01 tengah malam ini. Di mana seramai 48,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan dalam tempoh PKP ini, ujarnya.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan PKP dilaksanakan di enam buah negeri yang tersenarai dalam zon merah, mulai 13 hingga 26 Januari 2021. Negeri yang terbabit ialah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka.

Sepanjang tempoh yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan iaitu melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sementara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.