Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

Sekali lagi, kita terpaksa mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali kedua bagi melandaikan graf kes jangkitan harian Covid-19 yang dilihat semakin ‘mencanak’ naik akhir-akhir ini. Ya, walaupun yang tak boleh keluar ke pejabat tetapi masih lagi perlu bekerja dari rumah, hujung minggu pastinya sangat bosan kerana hanya terperap di rumah saja kan?

Bagi mereka yang ‘kaki kereta’, anda juga pasti terkurung pada hari Sabtu dan Ahad sekarang kan? Ye lah, nak lepak bengkel, window shopping di kedai-kedai halfcut, lepak TT, malah nak sunday drive ke Ulu Yam atau Genting pun dah tak boleh. Jadi untuk meluangkan masa hujung minggu ni, pasti ramai yang berniat nak ‘membelai’ kereta masing-masing.

Ada tak di kalangan pembaca yang dah habis buat detailing bahagian luar kereta, sekarang terfikir nak bersihkan pula ruang enjin dengan membasuh bahagian tersebut? Persoalannya, boleh ke kita buat perkara berkenaan, adakah ia akan merosakkan komponen-komponen tertentu di ruang enjin tersebut?

Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

Jadi untuk menjawab persoalan ini, jenama automotif nasional, Proton memberikan berberapa penjelasan am yang anda boleh gunakan sebagai panduan. Menurut Proton, ya, anda boleh basuh ruang enjin menggunakan hos/pancuran air, tetapi berberapa perkara perlu diambil kira bagi mengelakkan sebarang masalah atau kerosakan.

Pertama sekali, anda kena pastikan bahawa ruang enjin tersebut sudah cukup sejuk untuk disentuh sebelum mula membasuh enjin. Ini kerana ada sebahagian logam, contohnya blok dan kepala enjin, sebenarnya akan mengembang ketika ia beroperasi dalam suhu bekerja. Selepas enjin di matikan, komponen berkenaan akan mengecut kembali secara beransur-ansur selari dengan penurunan suhu.

Sekiranya dari panas anda terus lalukan air padanya, penurunan suhu akan berlaku secara mendadak. Kesannya, ada kemungkinan ia akan retak atau berubah bentuk. Untuk mudah faham, cuba anda masukkan air panas ke dalam gelas kaca dan kemudian terus letak ke dalam peti sejuk – besar kemungkinan gelas berkenaan boleh pecah kerana perubahan molekul yang mendadak.

Boleh ke cuci enjin? Ini panduan mudah untuk anda

Kemudian, anda jangan gunakan pancuran air dengan tekanan seperti washer jet. Ini kerana pancutan air bertekanan tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada gasket-gasket pengedap, soket-soket juga penutup-penutup plastik yang melindungi komponen elektrik dan elektronik di dalamnya.

Sekiranya gasket-gasket dan penutup-penutup tersebut rosak sudah tentu tugas untuk melindungi bahan asing seperti air, pasir, habuk dan sebagainya untuk masuk ke dalam komponen tersebut akan gagal dan menyebabkan kerosakan mekanikal dan elektrikal.

Walau bagaimanapun, anda masih boleh menggunakan washer jet berkenaan untuk menghilangkan kotoran pada bahagian-bahagian casis dan panel-panel logam seperti pada bahagian firewall. Juga anda perlu pastikan tekanan air yang digunakan tidak melebihi 70 bar, semburan berkenaan dibuat dengan jarak sekitar 40 cm, dan sekali ‘tembak’ jangan melebihi 30 saat. Jika panduan ini tidak diikuti, anda mungkin akan merosakkan cat pada bahagian berkenaan.

Bagi menghilangkan kotoran minyak atau gris pula, anda disarankan untuk menggunakan berus untuk mebersihkan bahagian berkenaan. Namun sekali lagi, anda perlu berhati-hati untuk tidak memberus terlalu kuat pada bahagian-bahagian plastik kecil seperti soket elektrikal dan sebagainya bagi mengelakkan ia patah. Setelah siap diberus, bilaskan dengan menggunakan hos air biasa.

Sebagai perlindungan tambahan, Proton turut mengesyorkan anda untuk memberikan perlindungan tambahan pada bahagian-bahagian elektrik dan elektronik dengan bahan kedap air seperti plastik dan sebagainya. Bahagian-bahagian yang perlu diambil perhatian termasuk pada terminal bateri, kotak fius dan juga alternator.

Anda juga perlu pastikan laluan dari kotak udara (perumah penapis udara) hingga ke manifold kemasukan dilindungi dari dimasuki air. Oleh itu, pastikan bahagian ini juga betul-betul kedap air ketika membasuh ruang enjin.

Selain dari menggunakan air, anda juga sebenarnya boleh membersihkan ruang enjin ini dengan cara lebih selamat menggunakan produk-produk pembersih yang dikhaskan untuk kegunaan ruang yang agak sensitif berkenaan. Jika dahulu produk-produk sebegini hanya dijual pada kedai-kedai hardware tertentu, sekarang dengan platform beli-belah atas talian, ianya boleh dicari dengan lebih mudah dan ia akan terus dihantar ke pintu rumah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Mentari dini on Mar 04, 2022 at 7:47 am

    Bahaya juga basuh engine kereta ya? Terimakasih infonya ya..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required