Subaru telah menyiarkan video promosi jentera lumba BRZ GT300 baharu, yang bakal berentap dalam perlumbaan Super GT bagi kelas GT300 tahun ini.

Pusingan pertama bagi musim baharu ini dijangka akan bermula pada 10-11 April 2021 di Litar Antarabangsa Okayama, disusuli dengan pusingan kedua di Fuji Speedway dari 1-2 Mei. Dua pusingan lagi mungkin bakal berlangsung di Thailand dan Malaysia seperti yang direncanakan, tetapi disebabkan penularan pandemik Covid-19, tidak dapat disahkan adakah perlumbaan di dua negara berkenaan akan diteruskan.

Bagi jentera lumba BRZ GT300, badannya kelihatan sama seperti BRZ generasi kedua yang diperkenalkan pada November tahun lalu. Walau bagaimana pun, beberapa modifikasi telah diberikan untuk mengoptimumkan prestasi aerodinamiknya, termasuklah fender yang lebih lebar, splitter hadapan yang lebih besar dan beberapa corong pengambilan udara, diffuser belakang yang besar dan juga wing belakang yang menyerlah.

Buat masa ini Subaru masih belum mendedahkan spesifikasi teknikal bagi jentera lumba ini, tetapi pastinya masih mengekalkan enjin boxer. Jentera lumba BRZ GT300 terdahulu yang terlibat dengan perlumbaan dari tahun 2012 hingga 2020 menampilkan enjin talaan perlumbaan dengan unit EJ20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa hingga 300 PS (had kuasa bagi kelas GT300) dan tork 450 Nm. Sebagai perbandingan, model biasa yang dipandu di jalan raya, ditampilkan dengan enjin 2.4 liter naturally aspirated empat-silinder flat dengan kuasa 231 PS dan 249 Nm.

Sebelum perlumbaan bagi musim 2021 bermula, Subaru akan menganjurkan acara shakedown untuk BRZ GT300 pada 22 Februari, di mana kita akan menyaksikan ‘uniform’ luaran jentera lumba ini yang khabarnya digandingkan dengan rona biru.