BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

BMW 5 Series LCI G30 telah pun mula dijual di Thailand. Buat masa ini barisan model facelift tersebut menawarkan tiga varian iaitu 530e Elite berharga 2,999,000 baht (RM404k), 520d M Sport berharga 3,539,000 baht (RM477k), dan 530e M Sport pula ditawarkan dengan harga 3,739,000 baht (RM503k).

Kedua-dua model 530e plug-in hybrid dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder petrol dengan output 184 PS pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork 300 Nm pada 1,350 hingga 4,000 rpm. Ia turut digandingkan dengan motor elektrik yang lebih berkuasa dengan kuasa tambahan 109 PS/265 Nm, menjadikan keseluruhan output mencecah 252 PS dan 420 Nm.

Ia turut menampilkan XtraBoost yang merangsang 40 PS kuasa tambahan (keseluruhan mencecah
292 PS). Varian 530e seberat 1,770 kg ini mampu mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat dan kelajuan maksimum pula boleh mencapai 235 km/j. Di bawah lantainya, ditempatkan bateri 12 kWh, yang menawarkan jarak antara 62 dan 67 km dalam pengecasan penuh. Ia turut mengurangkan ruang but daripada 530 liter menjadi 410 liter sahaja.

Manakala bagi 520d pula, ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter turbodiesel yang mampu menghamburkan kuasa hingga 190 PS pada 4,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,750 hingga 2,500 rpm. Ia mampu memberikan pecutan dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 235 km/j. Semua model ini digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke roda-belakang. Tiada pacuan semua-roda xDrive ditawarkan.

BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

Untuk ciri kelengkapannya, semua model diberikan lampu utama LED dengan bantuan lampu tinggi dan selekoh serta pintu berpenutupan-lembut secara standard. 520d M Sport dan 530e Elite turut ditampilkan dengan roda 18-inci, manakala 19-inci untuk 530e M Sport yang turut diberikan peredam adaptif dan juga integral active steering (stereng roda belakang).

Di dalamnya, G30 mengekalkan hampir semua rekaan papan pemuka seperti sebelum ini, tetapi dengan sedikit perubahan iaitu bentangan kawalan baharu pada roda stereng, kawalan suhu dwi-zon standard, dan tempat duduk yang lebih selesa. Ia turut diberikan pilihan sama ada rona hitam atau pun cognac Dakota bagi kulit upholstery.

Varian asas 530e Elite merupakan satu-satunya model yang menerima BMW Live Cockpit Plus – manakala bagi M Sport pula diberikan Live Cockpit Professional dengan kawalan pergerakan dan sistem bunyi Harman Kardon, namun BMW Connected Drive diberikan secara standard untuk semua varian.

BMW 5 Series LCI G30 dijual di Thailand, dari RM404k

Turut diberikan ialah BMW Intelligent Personal Assistant dan BMW Operating System 7.0 yang turut menawarkan antara muka baharu, ciri over-the-air yang dipertingkatkan serta fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, 5 Series LCI turut diberikan BMW Driving Assistant dan Parking Assistant. Model asas turut menerima kawalan kelajuan dengan fungsi brek, dan hanya 530e M Sport sahaja diberikan kawalan kelajuan adaptof dengan fungsi stop and go. Tetapi agak menghairankan apabila pakej Driving Assistant Professional dengan brek kecemasan sendiri tidak ditawarkan sama sekali.

Lain ciri yang ditampolkan termasuklah BMW Teleservices dengan Panggilan Kecemasan Pintar, bantuan perhatian, kawalan brek selekoh, dan kawalan cengkaman dinamik. Kamera pandangan sekeliling pula diberikan hanya untuk model tertinggi sahaja. Bergantung pada varian, terdapat lima warna yang ditawarkan – Alpine White, Bernina Grey Amber effect, Black Sapphire, Bluestone metallic, dan Phytonic Blue.

GALERI: BMW 530e M Sport LCI G30

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required