Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (sistem e-PG) telah pun dilancarkan untuk orang awam yang mempunyai saman kesalahan trafik di Shah Alam atau Selangor. Di mana mulai 2 Februari ini, pesalah trafik di negeri berkenaan boleh membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarah jauh dan tidak perlu hadir secara fizikal ke mahkamah.

Menurut Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor akan mengaplikasi sistem e-PG bagi semua kes trafik yang didaftarkan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam bermula pada 2 hingga 5 Februari 2021, laporan Bernama.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh PKPMP turut menyebut sistem e-PG dapat mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah selain dapat menjimatkan masa, wang ringgit, menjaga keselamatan dan kesihatan. Apatah lagi dalam situasi negara yang sedang dilanda pandemik COVID-19 yang memerlukan masyarakat untuk menjaga jarak fizikal dan mengelakkan tempat sesak.

“Orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di Mahkamah Majistret berkenaan boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my bermula 2 Februari ini.

“Sistem e-PG membenarkan 43 kesalahan bagi Orang Kena Saman (OKS) menggunakan aplikasi ini termasuk kesalahan mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas, pendaftaran kenderaan dan pemunya, lesen kenderaan motor, tiada lesen memandu dan memperagakan nombor pendaftaran.

“Bagaimanapun, individu yang menghadapi kesalahan memandu kenderaan melebihi had kelajuan, tidak boleh menggunakan aplikasi sistem e-PG dan perlu hadir secara fizikal ke mahkamah,” ujar PKPMP.

PKPMP turut berkata, statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan terdapat lebih sejuta kes saman trafik didaftarkan yang kebanyakannya berakhir dengan pengakuan bersalah dan hukuman denda.

“Justeru, bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan trafik sekali gus mempercepatkan proses pelupusan kes tersebut,” menurut PKPMP.

Badan Kehakiman berharap akan dapat melancarkan sepenuhnya sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 April manakala bagi Mahkamah Majistret Sabah dan Sarawak bermula pada Jun depan.

Selain itu, inisiatif pendigitalan teknologi seperti sistem e-PG ini juga diharap akan lebih memperkasakan pentadbiran keadilan dan memperluaskan akses kepada keadilan untuk semua pihak.