Walau pun kebanyakan sektor ekonomi terpaksa akur dengan impak yang muram disebabkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) sehingga 18 Feb 2021 namun Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) optimis dengan keadaan ini.

Menurut presidennya Musa Zahidin Ahmad Zaidee, lanjutan PKP 2.0 ini dilihat mampu membantu melindungi industri ketika ia mula mencatatkan pemulihan tahun ini.

“Walaupun situasi pandemik COVID-19 masih terus menjadi kebimbangan utama bagi 129 ahlinya, PKP 2.0 dijangka mampu mengawal situasi tersebut sehingga program vaksinasi bermula. Kebanyakan ahli kami berada di Selangor tetapi mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Dengan komunikasi berkesan antara ahli kami dan pengeluar peralatan tulen (OEM) kami, kami percaya kami akan dapat mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini,” ujarnya kepada Bernama.

Tambahnya lagi, P2SA dan Perodua akan bekerjasama untuk mewujudkan SOP bagi keseluruhan ekosistem automotif.

“SOP ini termasuklah mematuhi prosedur keselamatan ketat di tempat kerja, asrama pekerja yang menyediakan tempat tinggal yang selamat bagi kakitangan dan menawarkan ujian COVID-19 bergilir bagi kesemua pekerja,” katanya.