Dalam diam Porsche merancang untuk membangunkan kilang operasi pemasangannya di Malaysia, yang pertama di luar Jerman. Menurut The Edge, fasiliti tersebut mungkin bakal ditempatkan di Kulim, Kedah dan ia adalah jalinan kerjasama dengan Inokom, anak syarikat kepada Sime Darby yang telah menjadi pengedar rasmi bagi pasaran tempatan bagi Porsche sejak 2010.
“Ada sejumlah besar pelaburan yang bakal masuk ke Malaysia bagi sektor automotif, tetapi buat masa ini kerajaan masih belum mengesahkannya. Ini kerana pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) membuatkan banyak prinsipal tidak dapat datang ke Malaysia,” ujar sumber yang memaklumkan kepada penerbitan berkenaan.
Tambahnya lagi, “Pengumuman mengenai usahasama tersebut akan dilakukan. Mereka (pelabur) nama yang besar; jadi kerajaan tidak boleh sekadar mengadakan sidang media dan mengumumkan pelaburan semata-mata.”
Ada sumber lain turut menyatakan insentif bagi pelaburan ini telah pun diluluskan oleh Kementerian Kewangan, dan Inokom akan membina sebuah kilang baharu khas untuk Porsche di Kulim. Inokom mempunyai banyak pengalaman dalam pengeluaran untuk model pemasangan tempatan (CKD) di fasiliti di Kulim, termasuklah jenama BMW dan Hyundai.
Apabila perkara ini diajukan oleh The Edge kepada penolong pengarah komunikasi korporat dan jurucakap bagi produksi dan logistik, Christian Weiss, katanya, “ASEAN adalah rantau yang memiliki potensi yang besar, dan kami akan terus mengkaji pilihan bagi memperkembangkan lagi pasaran ini.”
Sime Darby pula berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang kerjasama untuk menambahkan nilai dalam pelan perniagaan strategik dan seumpamanya, serta secara berkala melibatkan rakan kongsi sedia ada dan berpotensi untuk meneroka peluang bertujuan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Walau pun komen dari Sime Darby dan Posrche tidak mengesahkannya, namun kenyataantersebut juga tidak dinafikan. Apa pun, kena tunggu dan lihat apakah benar perkhabaran ini bakal berlaku tidak lama lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.