Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan bilik pameran dalam talian, bagi menawarkan para pelanggan untuk meneliti atau terus membeli kenderaan Mitsubshi menerusi kaedah digital. Bilik pameran dalam talian Mitsubishi ini mengikut kaedah proses pembelian kenderaan secara biasa, tetapi mengubahsuai beberapa langkah sedia ada untuk pengalaman secara digital, menjimatkan masa para pelanggan dari berkunjung ke bilik pameran sebenar.
Melihat model kendeaan yang ada juga boleh dilakukan menerusi bilik pameran maha ini, dengan menawarkan pandangan 360-darjah bagi luaran dan dalaman kenderaan, malah membolehkan pengguna untuk zoom in dan zoom out serta meneliti setiap arah foto digital berkenaan. Setiap kenderaan Mitsubishi yang dipamerkan itu mempunyai butang interaktif untuk menunjukkan lebih banyak informasi mengenai kereta terbabit dan juga ciri utamanya. Di samping pandangan 360-darjah, bilik pameran dalam talian ini juga memaparkan galeri iaitu menunjukkan lebih banyak imej kenderaan terbabit dalam pelbagai sudut.
Apabila pengguna sudah membuat keputusan untuk memilih sesuatu model, langkah seterusnya ialah untuk memandu ujinya, yang boleh dilakukan di rumah anda sendiri, menerusi servis dalam talian Test Drive 2U. Diperkenalkan pada Mei tahun lalu, pengedar bertauliah akan membawa mana-mana model Mitsubishi yang dipilih untuk anda pandu uji ke lokasi yang anda pilih. Tempahan untuk pandu uji ini boleh dibuat menerusi beberapa langkah mudah menerusi laman bilik pameran dalam talian tersebut.
Pelanggan yang mahu menempah kereta Mitsubishi tetapi tidak mahu melakukannya di bilik pameran sebenar juga boleh membeli secara terus menerusi dalam talian. Ia boleh dilakukan dengan menghantar borang tempahan menerusi laman web bilik pameran dalam talian itu, kemudian pengedar bertauliah MMM akan menghubungi pelanggan untuk membantu proses seterusnya iaitu dari permohonan pembiayaan sehinggalah ke insurans.
Syarikat ini juga berkolaborasi dengan MyTukar dengan menawarkan promosi trade-in istimewa untuk pelanggan Mitsubishi yang ingin menukar kereta mereka menerusi bilik pameran dalam talian Mitsubishi, dan inisiatif ini dilakukan dengan mengemukakan borang bantuan trade-in dalam talian. Kemudian pelanggan akan mempunyai pilihan untuk memohon pemeriksaan, penyerahan, penukaran hak pemilikan kenderaan dan selepas itu mengambil kereta yang dijual di lokasi yang dipilih.
“Pada tahun lalu, kita telah melihat tahap perubahan yang tidak dapat diramalkan kerana norma baharu dan keperluan menjaga jarak sosial. Pelancaran bilik pameran dalam talian Mitsubishi adalah contoh komitmen MMM untuk memberikan pengalaman yang lebih berorientasikan manusia dengan merangkumi pendekatan holistik pada tiga tonggak utama organisasi iaitu manusia, proses dan teknologi, ”kata Ketua Pegawai Eksekutif MMM Tomoyuki Shinnishi.
Tambah beliau, pihaknya juga selalu percaya dalam mencipta pengalaman sebegini, dan bilik pameran dalam talian adalah ketersambungan dari mengenali produk, pandu uji dan komunikasi dengan pengedar untuk proses pembelian. “Kami juga menawarkan para pelanggan pembelian model Mitsubishi yang lebih tanpa mereka perlu keluar dari rumah,” ujarnya lagi.
Syarikat ini juga memperkenalkan aplikasi mobil Mitsubishi Connect sebagai sinambungan dalam perkhidmatan selepas jualan menerusi platform digital. Aplikasi mobil ini membolehkan pemilik Mitsubishi untuk mengaturkan temujanji penyelenggaraan yang lebih mudah. dengan pusat servis MMM yang dipilih, serta mengetahui sejarah penyelenggaraan kenderaan dan juga pengingatan untuk penyelenggaraan yang seterusnya. Ketahui lebih info mengenai bilik pameran dalam talian Mitsubishi di sini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.