Seperti yang diumumkan sebelum ini, hari ini telah bermula penguatkuasaan kompaun sebanyak RM10,000 untuk mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam laporan Harian Metro hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan bahawa langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam tadi.

Menurut beliau lagi, selepas ini mereka yang didapati melanggat mana-mana SOP akan terus menerima kompaun yang tertulis nilai RM10,000, walau bagaimanapun jumlah berkenaan mungkin akan dikurangkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) atas budi bicara selepas pesalah membuat rayuan.

“Notis kompaun yang ditulis adalah bernilai RM10,000 jika melanggar SOP namun, ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai, sebaliknya ia semata-mata untuk sedarkan orang ramai bahawa virus ini masih berada di mana-mana sekiranya kita lupa.

“Pegawai polis akan menawarkan kompaun, mereka akan menulis notis kompaun bernilai RM10,000 dan dalam tempoh dua minggu, pesalah perlu membayar kompaun berkenaan.

“Namun pesalah boleh membuat permohonan rayuan, ia bergantung kepada budi bicara PKD untuk menetapkan jumlah sebenar nilai kompaun berkenaan,” katanya untuk memperjelaskan lagi proses berkenaan.

Beliau turut memberitahu bahawa PDRM akan mengesan individu yang melakukan kesalahan berulang menerusi sistem yang dibangunkan, dengan mereka boleh dikenakan kompaun maksimum itu bergantung kepada kesalahan dilakukan.