
Selepas pelancaran model terbaharunya, Ativa, Perodua telah menemui sekurang-kurangnya dua tawaran rebat palsu dalam talian bagi SUV tersebut. Justeru, Perodua menggesa agar pelanggannya yang sedia ada dan baharu untuk hanya berurusan dengan penasihat jualannya yang sah agar tidak terpedaya memberi wang pendahuluan pembelian kereta.
“Kami telah menemui sekurang-kurangnya dua tawaran rebat palsu dalam talian bagi Perodua Ativa yang baru dilancarkan. Perodua dan cawangan-cawangan kami di seluruh negara tidak pernah dan tidak akan mengadakan sebarang promosi rebat tunai selepas memperkenalkan model baharu kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Jelas beliau, ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab telah mendakwa diri mereka sebagai penasihat jualan Perodua dan memperdaya mangsa untuk memasukkan wang pendahuluan pembelian kereta baharu mereka ke dalam akaun bank peribadi.
“Kami ingin menggesa para pelanggan agar jangan segera menerima tawaran, sama ada dalam talian atau cetak, tanpa mendapatkan pengesahan maklumat terperinci daripada penasihat jualan dan servis Perodua yang sah, atau platform dalam talian rasmi kami di www.perodua.com.my, Facebook dan Instagram.
“Selain itu, jangan berikan maklumat peribadi anda seperti nombor akaun bank, alamat rumah dan nombor kad pengenalan tanpa memastikan individu yang berurusan dengan anda adalah kakitangan Perodua yang sah,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa para pelanggan agar tidak membuat sebarang pembayaran, termasuk wang pendahuluan atau wang tempahan ke dalam akaun bank peribadi. Semua pembayaran mesti dibuat ke akaun syarikat sahaja.


Perodua Traz
dari RM 76,100
Perodua QV-E
dari RM 80,000
Perodua Axia
dari RM 38,600
Perodua Alza
dari RM 62,500
Perodua Myvi
dari RM 46,500
Perodua Ativa
dari RM 62,500
Perodua Bezza
dari RM 34,580
Perodua Aruz
dari RM 72,900