Model terbaru Honda CRF250 Rally 2021 yang didedahkan pertama kali November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia. Ia dijual pada harga RM27,999 tidak termasuk insurans dan melibatkan pelbagai pembaharuan di segenap bahagian.

Bermula pada enjin, model tahun 2021 ini masih lagi menggunakan unit satu silinder DOHC 249 cc berkuasa 24 PS dan 23 Nm tork yang sama, tetapi telah ditala semula dengan perubahan pada bahagian camshaft intake, penapis udara, ekzos serta pemasaan pengapian (ignition timing).

Kemudiannya pada transmisi, unit enam kelajuan padanya diubah dengan nisbah gear 1 hingga 5 yang lebih pendek serta gear 6 yang lebih panjang. Klac pula menggunakan unit slip & assist baru yang memberikan operasi 20% lebih ringan dan mengurangkan loncatan tayar apabila mengurangkan kelajuan dengan pantas.

Kerangka model ini juga adalah baru, di mana ia direka untuk mendapatkan keseimbangan kekuatan dan pengurangan berat yang lebih baik. Kini, berat CRF250 Rally cuma 152 kg (lebih ringan 5 kg berbanding sebelum ini) sementara tangki bahan api dibesarkan dua liter, menjadi 12 liter.

Panel meter masih lagi menggunakan LCD tetapi bentuknya kini lebih petak dan dilengkapi dengan tulisan yang lebih besar serta tambahan informasi kedudukan gear serta penggunaan bahan api. Di bahagian tepi meter ini terdapat satu butang khas untuk menutup fungsi brek ABS belakang sekiranya penunggang mahu memasuki kawasan offroad.

Untuk ergonomik, kedudukan pemegang dijadikan lebih tegak dan kurang bergegar, tempat duduk lebih lebar dan pemijak kaki ditambah dengan pelapik getah seupaya lebih selesa. Kelengkapan lain yang terdapat CRF250 Rally adalah fork teleskopik, brek cakera dan rim 21 inci di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock berserta ProLink, brek cakera serta rim 18 inci.

GALERI: Honda CRF250 Rally 2021