Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini pernah memberitahu, kelambatan dalam mendapatkan kelulusan harga kenderaan menjadi satu masalah dalam negara dan ia menyebabkan beberapa pelancaran terpaksa ditangguh atau hanya harga anggaran sahaja yang dikeluarkan buat sementara waktu.
Hari ini, persatuan tersebut telah mengadakan perjumpaan tahunan kali 22 untuk memilih ahli majlis bagi tahun 2021/2022 dan ia kemudiannya diikuti oleh sesi soal jawab dengan wakil media. Kami mengambil peluang untuk bertanyakan kepada presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad apakah terdapat sebarang perkembangan berkenaan perkara yang dinyatakan tadi.
“Secara asasnya, bagi pelancaran dan yang berkaitan, mereka (ahli MAA) perlu mendapatkan kelulusan harga daripada ABDC (Jawatankuasa Pembangunan Perniagaan Automotif) sekiranya mahukan insentif, dan ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum boleh diluluskan dan perlu melalui MoF (Kementerian Kewangan),” kata Aishah.
“Tetapi kerajaan sekarang sedang mengusahakan formula atau garis masa baru – Saya tidak tahu bila ia akan dilaksanakan – tetapi mereka berjanji bahawa permohonan akan diluluskan dalam masa tiga bulan. Kami harap garis masa ini akan dilaksanakan secepatnya,” jelas beliau.
Sebelum ini Aishah menjelaskan proses mendapatkan kelulusan harga kenderaan bermula dengan permohonan yang dihantar kepada ABDC, dan ini terdiri daripada pengerusinya, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), MARii (Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia), kastam serta MoF.
Buat masa ini, beliau memberitahu secara amnya tempoh tiga bulan diperlukan sebelum permohonan itu dapat diluluskan oleh ABDC, tetapi untuk mendapatkan surat kelulusan daripada MoF ia akan mengambil masa lebih lama dan menyebabkan kelambatan. Formula baru yang diberitahu sepatutnya dapat memendekkan tempoh ini, tetapi perinciannya masih belum diketahui.
Apabila ditanya sekiranya terdapat penjelasan yang lebih terperinci berkenaan insentif, terutamanya bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan bagaimana harganya ditetapkan, Aishah berkata ahli persatuan telah diberitahu berkenaan polisi tersebut, tetapi perbincangan dengan kerajaan masih lagi dalam proses, untuk menentukan apa yang terbaik bagi pemain industri dan tarikh pelaksanaannya masih belum ditetapkan.
Telah diketahui sebelum ini bahawa peraturan baru akan melihatkan kenderaan CKD perlu membayar cukai lebih tinggi disebabkan cara pengiraan nilai pasaran terbuka (OMV) sesebuah kenderaan. Asalnya ia mahu dilaksanakan pada tahun 2020, tetapi ditangguhkan sehingga kini.
Dengan garis masa serta pelaksanaan yang masih lagi kabur ini, terdapat persoalan sama syarikat kereta di dalam negara mengalami kesukaran untuk merancang masa hadapan serta pelaburan mereka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.