Lexus Malaysia akan melancarkan model LM pada 15 April ini, hampir empat bulan sejak tempahan bagi MPV mewah ini mula dibuka. Majlis pelancarannya akan disiarkan secara langsung melalui Facebook pada 1 pm, dan bagi yang berminat untuk ikut serta boleh mendaftar di laman Facebook Lexus Malaysia.

Lexus LM akan ditawarkan untuk pasaran tempatan dalam bentuk LM 350, sama seperti di Indonesia. Bagaimanapun, kita hanya akan menerima versi empat-tempat duduk; varian tujuh-tempat duduk turut ada di Indonesia, tetapi tidak di sini.

LM 350 dilengkapi enjin 2GR-FKS 3.5 liter V6 petrol yang menghasilkan 296 hp dan 360 Nm, dengan kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi automatik Direct-Shift lapan-kelajuan. Ia memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.3 saat, dan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 180 km/j. Malaysia juga tidak akan menerima versi LM 300h hybrid seperti di Thailand.

Bukanlah rahsia bahawa LM ini berasaskan Alphard. Namun, ia diberikan sentuhan yang lebih mewah, dengan kelengkapan dan perincian yang jitu. Antara yang melengkapinya ialah lampu utama projector LED triple-beam, DRL LED khusus, rim aloi krom 18-inci serta skrin sentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Di belakang, tersedia dua tempat duduk VIP yang boleh direbahkan menjadi rata, dengan beralaskan urethane foam kepadatan rendah AdaptiPedic yang dibalut dengan kulit semi Aniline. Turut ada ialah fungsi urutan binaan dalaman serta pendingin, sementara pembahagi kaca kawalan elektronik memberikan privasi sepenuhnya kepada penumpang.

Ciri lain termasuk skrin LCD 26-inci, sistem bunyi Mark Levinson dengan 19-pembesar suara, moonroof berkembar, peti sejuk dalaman, ruang storan yang cukup luas untuk menempatkan beg kerja serta konsol tengah kendalian melalui sentuhan.

Aspek keselamatan pula antaranya termasuk tujuh beg udara serta Lexus Safety System+ (LSS+). Ini termasuk sistem pra-perlanggaran, kawalan melayar radar dinamik, bantuan pengesanan lorong, bantuan penukaran lorong dengan peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, brek sokongan parkir dan sistem lampu tinggi adaptif.

Hanya ada dua warna ditawarkan iaitu hitam dan putih mutiara kristal. Lexus LM 350 dijual pada harga RM1,148,000 atas jalan tidak termasuk insurans. Lexus Malaysia memaklumkan, serahan pertama akan dibuat pada bulan Jun kelak.