Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah pun mengadakan Operasi Khas Ubahsuai Ekzos (bunyi bising) pada 1 hingga 31 Mac lalu dan bagi tempoh itu, sebanyak 71,127 saman terhadap pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

Dalam jumlah itu, sebanyak 6,954 saman atas kesalahan ubah suai ekzos iaitu melibatkan 4,926 saman bagi motosikal, 1,627 saman bagi kereta dan 401 bagi lain-lain kenderaan.

“Dalam pada itu, sebanyak 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 lain-lain kenderaan disita untuk pemeriksaan lanjut. Kenderaan akan diserahkan semula selepas kenderaan yang diubahsuai ekzos dikembalikan kepada spesifikasi asal,” kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Tambah beliau, sebanyak 157,992 kenderaan keseluruhan diperiksa membabitkan 76,315 motosikal, 52,059 kereta dan 29,618 lain-lain kenderaan di 3,478 lokasi operasi di seluruh negara.

“Operasi dilancarkan bertujuan menguatkuasakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama pemilik serta penunggang motosikal yang melakukan ubahsuai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising.

“Kita akan melakukan operasi ini secara berterusan di samping operasi lain seperti samseng jalanan, mabuk, lampu merah dan lain-lain,” katanya.