Acara Auto Car Expo (ACE) 2021 oleh paultan.org bersama tajaan Carsome akan berlangsung tidak lama lagi, di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) 17 dan 18 April ini. Sekiranya anda ada bercadang mahu membeli kenderaan baru, ini adalah tempatnya kerana terdapat banyak tawaran menarik.

Salah satu jenama yang menyertai acara ini iaitu Volkswagen, menyediakan promosi RM1,000 untuk semua model, khas waktu ACE 2021. Ini diberikan sebagai tambahan kepada tawaran lain, termasuk rebat RM4,500 untuk Arteon 2.0 TSI R-Line.

Sementara itu, bagi semua varian Tiguan Allspace – 1.4 TSI Highline dan 2.0 TSI R-Line 4Motion – serta Passat 2.0 TSI Elegance dan 2.0 TSI R-Line, Volskwagen menyediakan rebat RM3,500.

Mereka yang membeli Passat 2.0 TSI Elegance juga akan diberi pilihan salah satu daripada dua hadiah tambahan, iaitu baucar percutian ke Pangkor Laut Resort berharga RM3,298 atau insurans percuma selama satu tahun. Passat 2.0 TSI R-Line juga datang dengan pilihan hadiah percutian yang sama, atau petrol percuma untuk satu tahun.

Tawaran ini tidak berakhir di situ sahaja kerana paultan.org akan memberikan baucar kombinasi bernilai RM2,550 kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru. Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

ACE turut akan disertai oleh pelbagai jenama lain termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Toyota dan Volkswagen. Meskipun acara ini memberi lebih tumpuan kepada jenama biasa, jenama premium juga akan turut serta seperti BMW, Lexus dan MINI. Anda juga berpeluang untuk melihat kereta lumba MSF Racing di situ!

Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021