Mungkin ramai yang sudah tahu, hujung minggu ini, akan berlangsung acara paultan.org Auto Car Expo (ACE), tajaan bersama Carsome di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC). Bermacam promosi disediakan oleh jenama yang menyertai acara ini, dan satu lagi yang baru disahkan adalah untuk Ford Ranger.

Trak pikap ini ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM7,000 bagi Ranger Wildtrak 2020, dan sehingga RM8,000 untuk Ranger Raptor 2020. Anda juga diberikan peluang memiliki Ranger secara lebih mudah dengan adanya pakej pembiayaan, insurans serta tawaran tukar-beli yang menarik. Jika termasuk dalam 100 pelanggan pertama yang membuat tempahan, anda juga akan menerima baucar minyak Petronas bernilai RM1,000.

Sebagai tambahan kepada tawaran yang disediakan oleh Ford, paultan.org juga akan memberikan baucar kombinasi bernilai RM2,550 kepada 200 pelanggan pertama yang menempah kenderaan baru. Ini termasuk baucar DK SCHWEIZER RM650 untuk balutan kulit dalam kenderaan, baucar filem penapis haba cermin RM500, baucar penapis udara Blueair RM500, baucar Dodomat RM300, baucar tempat duduk kanak-kanak Recaro RM300, baucar petrol BHP RM200 dan baucar Shopee RM100.

Selain daripada itu, tempahan yang sudah disahkan juga melayakkan anda untuk menyertai cabutan bertuah yang memberi peluang memenangi hadiah termasuk telefon bimbit bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian bernilai RM10,000!

Jenama lain yang turut menyertai ACE 2021, dengan promosi tersediri selain Ford adalah termasuk Mitsubishi, Honda, Hyundai, Mazda, Nissan, Toyota dan Volkswagen. Bagi jenama premium, terdapat Lexus, BMW dan MINI. Anda juga berpeluang untuk melihat kereta lumba MSF Racing waktu acara ini!

Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

Klik di sini untuk maklumat lanjut berkenaan ACE 2021