ACE 2021 : 561 unit kereta bernilai RM80.5 juta dijual dalam tempoh dua hari; pecahkan rekod PACE 2019

ACE 2021 : 561 unit kereta bernilai RM80.5 juta dijual dalam tempoh dua hari; pecahkan rekod PACE 2019

Acara Auto Car Expo (ACE) 2021 yang dianjurkan oleh paultan.org, bersama Carsome selaku rakan penaja, telah pun berlangsung dengan meriahnya pada hujung minggu lalu. Malahan acara jualan kenderaan yang berlangsung selama dua hari di Setia City Convention Centre (SCCC) mencatatkan rekod yang tersendiri.

Pada Sabtu lalu, kami melaporkan sebanyak 70 unit kereta telah berjaya dijual pada beberapa jam pertama acara berlangsung, dan dari situ momentumnya berterusan sehinggalah ke Ahad, penghabisan acara. Sebanyak 561 unit kereta dengan nilai berjumlah RM80.5 juta telah berjaya dijual dalam tempoh dua hari ACE 2021 berlangsung. Daripada jumlah itu, sebanyak 536 unit adalah kereta baharu dan 25 unit lagi adalah kereta pra-pemilikan.

Kebanyakan pembeli yang berkunjung ke SCCC adalah untuk mengetahui tawaran yang terbaik untuk direbut, serta memandu uji dan membandingkan antara pesaing, semuanya di bawah satu bumbung. Bukan setakat itu sahaja, bagi mereka yang tidak berkesempatan ke Setia Alam, kami turut menyediakan fungsi tempahan secara dalam talian, di mana sebanyak 20 pembelian direkodkan menerusi tempahan dalam talian menerusi WhatsApp.

Dengan 561 kereta yang terjual, kami juga memecahkan rekod kami sendiri menerusi Premium Auto Car Show (PACE) 2019, juga anjuran Paultan.org, di mana sebanyak 399 kereta premium dengan nilai lebih RM91.5 juta terjual. Menerusi PACE 2018 pula, sebanyak 214 kereta dengan nilai lebih RM50 juta terjual. PACE dan ACE 2020 tidak dapat dilaksanakan pada tahun lalu disebabkan penularan wabak COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Antara jenama yang mencatatkan jualan memberangsangkan di ACE 2021 ialah Mazda (84 unit), Toyota (72), Honda (70), Proton (66) dan Volkswagen (64). Model yang paling laris ialah Ford Ranger (46 unit, termasuk paling mengejutkan 16 unit adalah Ranger Raptor). Selain itu, model kereta lain yang turut mendapat sambutan ialah Volkswagen Tiguan (37), Proton X50 (30), Toyota Yaris (28), BMW 3 Series (27), Mazda CX-5 (26) dan Honda City (25).

Sebanyak 819 pendaftaran bagi pandu uji turut dicatatkan. Malahan, kami juga dikhabarkan, banyak pembelian berlaku di bilik pameran selepas pengunjung pulang dari ACE 2021!

Walau pun melibatkan penyertaan pengunjung, namun kami masih melaksanakan SOP yang tegas. Ini termasuklah daftar masuk dengan MySejahtera, mengimbas suhu badan dan juga meletakkan cecair sanitasi di merata tempat. Malahan kereta dan tempat yang kerap disentuh juga sentiasa disanitasi, dan pengunjung juga diwajibkan memakai pelitup hidung dan mulut sepanjang masa.

Bukan itu sahaja, kami juga mengehadkan pengunjung tidak melebihi 650 orang dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kebiasaanya, ia membenarkan 1,700 orang dalam dewan seluas itu, seperti mana yang ditetapkan mengikut SOP kerajaan.

Selain itu, krew juga sering kali mengingatkan pengunjung berhubung penjarakan sosial. Serta kanak-kanak di bawah 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas, tidak dibenarkan memasuki dewan berkenaan. Secara keseluruhannya, seramai 11,000 pengunjung telah memeriahkan ACE 2021 sepanjang hujung minggu lalu.

Ia adalah hujung minggu yang sangat bermakna buat kami di paultan.org dan Driven, dan kami gembira melihat para pengunjung teruja menyaksikan sendiri model terkini di hadapan mata, termasuk membandingkannya dengan model pesaing dan mengambil kesempatan memandu uji. Di bawah satu bumbung, tanpa perlu pergi ke satu bilik pameran ke bilik pameran yang lain. Malahan ramai juga yang mengambil peluang ini untuk membeli kereta yang masih lagi menerima penjimatan susulan pelaksanaan pelepasan cukai jualan.

Segala urusan pemasaran dan promosi bagi ACE 2021 dilakukan menerusi paultan.org dan juga laman media sosial kami, di mana boleh dikatakan hampir kesemua pengunjung dan pembeli adalah pengikut laman web ini. Dan apa yang kami dengar dari pempamer yang mengambil bahagian, kebanyakan pengunjung yang berkunjung ke ACE tahu tentang kereta, dan paling utama, tahu apa yang dicari.

Di kesempatan ini, kami ingin merakamkan terima kasih tidak terhingga buat semua para pengunjung ACE 2021 di atas sokongan anda, begitu juga dengan syarikat-syarikat kereta yang mengambil bahagian termasuk Ford, Honda, Hyundai, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Proton, Toyota, Volkswagen, BMW, Lexus dan MINI. Serta terima kasih infiniti buat rakan kerjasama, Carsome, serta para penaja seperti BHPetrol, V-Kool, Blueair, DK Schweizer, Dodo, Recaro dan Touch n’ Go.

Kita jumpa lagi di acara PACE dan ACE yang akan datang!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required