Pemaju hartanah Malton telah pun membuka jejambat satu hala sepanjang 300 meter bagi menghubungkan Bukit Jalil City ke Puchong menerusi Lebuhraya Bukit Jalil. Pembinaan jejambat berkenaan telah dimulakan pada tahun 2018, dan kini ia telah pun siap, enam bulan lebih awal berbanding jadual asalnya.

Jejambat berkenaan menghubungkan Jalan 13/155C di antara pembangunan Bukit Jalil City ke lebuhraya, dan mampu mengurangkan 25% kesesakan trafik pada waktu puncak yang datang dari arah Lebuhraya Bukit Jalil, selain memberikan laluan yang lebih mudah buat 11,000 pengguna yang sering menggunakan laluan berkenaan apabila pembangunan Bukit Jalil City siap sepenuhnya, ujar pemaju berkenaan.

Selain jejambat baharu, pelan utama Bukit Jalil City juga termasuk melebarkan beberapa laluan terpilih dengan tambahan kepada enam lorong, pusingan-U baharu dan juga terowong akses untuk ke tempat letak kereta bawah tanah untuk pusat membeli-belah Pavilion Bukit Jalil.

Kompleks Pavilion Bukit Jalil dijangka dibuka pada suku keemoat. tahun 2021, dan empat jejambat pejalan kaki menghubungkan antara pusat membeli-belah dengan kawasan sekeliling termasuk ke Taman Rekreasi Bukit Jalil dan juga pusat perniagaan di sepanjang Lebuhraya Bukit Jalil.