Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memberikan sedikit perubahan kecil untuk Tiguan Allspace bagi model tahun 2021, yang melibatkan varian asas Highline. Walau bagaimana pun, dimaklumkan harganya masih kekal iaitu RM165,031 atas jalan tanpa insurans atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST), termasuk waranti lima-tahun/tanpa had perbatuan dan pake penyelenggaraan tiga-tahun/45,000 km.
Perubahan yang dilakukan terhadap 1.4 TSI Highline termasuklah menampilkan roda aloi Nizza 18-inci baharu yang menggantikan unit Kingston pada model terdahulu, dan lampu belakang LED kini didatangkan dengan efek 3D lebih kurang sama dengan model spesifikasi tertinggi R-Line. Selain itu, sama seperti varian yang lebih atas, Highline turut menerima port USB-C yang ditempatkan di bawah gear suis kawalan suhu, sama tempat dengan port USB-A sebelum ini.
Unit utama kekal dengan skrin sesentuh Composition Media lapan-inci yang kini dipertingkatkan dengan kawalan suara dan masih mempunyai ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay – R-Line didatangkan dengan ciri tambahan untuk ketersambungan tanpa wayar bagi kedua-dua fungsi berkenaan.
Selain perubahan tersebut, Highline masih kekal dengan spesifikasi yang sama seperti sebelum ini, dengan ciri standard termasuk lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED), lampu belakang LED, tempat duduk kulit Vienna, tempat duduk pemandu larasan kuasa 12-hala, kawalan suhu tiga-zon Climatronic, pencahayaan ambien, brek parkir elektronik dengan penahan auto, bilah pengelap/lampu auto, cermin pandang belakang auto kelam, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, roda stereng balutan kulit, pedal penukar gear, kawalan kelajuan dan Digital Cockpit 11.7-inci.
Begitu juga dengan aspek keselamatan yang masih dikekalkan iaitu enam beg udara, ESC, kawalan menahan bukit, dan pemantauan tekanan tayar. Ia juga diberikan tailgate elektrik dan rel bumbung krom. Di bawah bonetnya, ia menampilkan enjin 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 150 PS (148 hp) dari 5,000-6,000 rpm dan tork 250 Nm dari 1,500-3,500 rpm. Pacuan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear dwi-klac kering DSG enam-kelajuan, dan Highline dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 7.3 liter/100 km.
Pilihan warna termasuklah Silk Blue, Pure White, Pyrite Silver, Platinum Grey dan Deep Black. Sebagai sebahagian daripada kempen Raya-Raya VPCM, Tiguan Allspace Highline kini ditawarkan dengan rebat duit raya RM1,000 dengan penjimatan eShowroom bernilai RM3,500.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.