Trak pikap hari ini telah beralih daripada sekadar menjadi kenderaan untuk tugasan kerja kepada memenuhi keperluan gaya hidup. Antara kelebihannya yang diminati ramai adalah berkaitan utiliti; mampu digunakan untuk membawa banyak barang dan boleh meredah banyak jenis permukaan dengan mudah.

Ini menjadikan trak pikap hadir dengan banyak pilihan seperti yang dapat dilihat dalam pasaran tempatan sekarang — penawaran menarik dengan penggayaan dan kelengkapan yang tak kalah hebat. Jika anda tidak kisah saiznya yang besar, maka pilihannya sentiasa banyak. Untuk itu, rasanya menarik juga untuk kita melihat perbezaan model-model utama yang ada untuk membantu anda membuat keputusan.

Kami senaraikan varian tertinggi dari setiap model yang dipaparkan ini. Alasannya mudah, ia varian paling lengkap dengan senarai spesifikasi mengkagumkan. Dari Toyota, Hilux 2.8 Rogue menjadi wakil, sementara bagi Isuzu pula D-Max 3.0 X-Terrain.

Model lain yang turut disertakan ialah Mitsubishi Triton 2.4 Athlete dan Nissan Navara 2.5 Pro-4X; penawaran terbaru dalam pasaran tempatan. Satu-satunya model bukan dari pengeluar Jepun ialah Ford Ranger 2.0 Wildtrak, yang dirasakan saingan lebih padan berbanding Raptor atau Raptor X yang jauh lebih mahal harganya melebihi RM200,000.

Pun begitu, Ranger Wildtrak merupakan yang paling mahal dalam senarai ini, diikuti oleh Hilux Rogue, Navara Pro-4X, D-Max X-Terrain dan Trition Athlete. Semua trak pikap tidak menikmati pengecualian SST ketika ini, jadi harganya tidak terkesan dan kekal sama. Daripada lima model ini, Hilux dipasang di sini (CKD), sementara yang lain diimport dari Thailand (CBU).

Dari sudut enjin, semuanya menggunakan jenis turbodiesel empat-silinder, walaupun semuanya berbeza spesifikasi. Hilux Rogue menggunakan unit 2.8 liter yang menghasilkan 204 PS (201 hp) dan 500 Nm tork, meletakkannya di kedudukan kedua dari aspek janaan kuasa di belakang Ranger Wildtrak 2.0 liter dengan angka 213 PS (210 hp) dan 500 Nm — walaupun hadir dengan kapasiti enjin paling kecil antara semuanya.

Di bawah 200 PS (197 hp) janaan, D-Max X-Terrain dengan enjin 3.0 liter serta Navara Pro-4X 2.5 liter masing-masing menghasilkan 190 PS (187 hp) dan 450 Nm — walaupun tork bagi enjin Navara tiba lebih lewat. Triton hadir dengan enjin lebih kecil, 2.4 liter, turbo tunggal yang tetap menghasilkan output boleh dibanggakan, 181 PS (178 hp) dan 430 Nm, menjadikannya datang dengan kuasa paling kecil antara semua model ini. Tetapi, Triton juga yang paling ringan dengan 1,930 kg; yang lain lebih dari dua tan berat.

Bagi penyalur kuasa, model Toyota, Isuzu dan Mitsubishi ini menggunakan jenis kotak gear automatik enam-kelajuan, dengan Navara menggunakan jenis tujuh-kelajuan sementara Ranger dengan 10-kelajuan.
Pacuan empat-roda melalui pilihan adalah standard untuk semua model, tetapi Hilux Rogue mempunyai tambahan limited-slip differential di belakang untuk mengawal saluran kuasa sekiranya gelincir dikesan pada roda belakang.

Navara Pro-4X juga memiliki kelainan dengan penggunaan suspensi belakang jenis multi-link berbanding leaf spring biasa, sementara Ranger menerima sistem stereng kuasa bantuan elektrik berbanding sistem hidraulik.

Kecuali Triton, semua trak pikap ini didatangkan dengan ciri bantuan tailgate (pilihan untuk Hilux Rogue) untuk memudahkan pengguna mengangkat pintu ruang barangan di belakang. Lain-lain ciri untuk kesenangan pengguna termasuk kamera 360-darjah sebagai standard bagi Triton Athlete dan Navara Pro-4X, dan ciri pilihan bagi Hilux Rogue.

Aspek keselamatan menyaksikan peningkatan penawaran paling penting pada trak pikap; minimum enam beg udara, dengan Hilux Rogue, D-Max X-Terrai dan Triton Athelete menerima tambahan beg udara lutut pemandu untuk menjadikan tujuh semuanya.

Turut tersedia ialah kawalan kestabilan, amaran penukaran lorong dan brek kecemasan autonomous (AEB) sebagai ciri standard. Lain-lain ciri tambahan termasuk bantuan titik buta ada pada semua model kecuali Ranger Wildtrak, sementara kawalan melayar adaptif hanya ada pada Hilux Rogue dan D-Max X-Terrain.

Walaupun tetap ada perbezaannya, tidak disangkal bahawa trak pikap hari ini telah menjadi jauh lebih baik dari aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu berbanding sebelum ini. Terutamanya, ciri penting seperti AEB. Ciri lain selebihnya adalah bonus.

Ruang dalaman juga sudah jauh berbeza dan sangat selesa, dari kerusi balutan kulit sebagai standard untuk semua model, dengan kawalan pendingin dua zon atau zon tunggal. Hanya Ranger Wildtrak tidak datang dengan corong pendingin belakang. Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto juga ada, dengan D-Max X-Terrain menggunakan sambungannya tanpa wayar.

Reka bentuk memang tertakluk kepada selera masing-masing, tetapi kelima-lima trak pikap yang ditampilkan ini memiliki penampilan yang menarik dan tersendiri. Navara Pro-4X menggunakan rim 17-inci, manakala yang lain dengan rim 18-inci. Kepada yang inginkan imej lain, sports bar boleh juga dipilih bagi semua model ini (standard bagi Triton Athlete dan Ranger Wildtrak).

Dengan perincian perbandingan ini yang melibatkan lima model trak pikap dari varian paling tinggi yang ada di Malaysia, mana satu yang anda sanggup belanjakan duit untuk memilikinya? Boleh kongsikan pandangan anda dengan kami.