Susulan insiden kemalangan yang membabitkan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen KLCC malam tadi, Pengerusi Prasarana, Dato’ Sri Haji Tajuddin bin Abdul Rahman memaklumkan pihaknya akan menyediakan tiga bentuk bantuan kewangan yang bakal disalurkan kepada para penumpang yang terlibat.

Selepas meninjau lokasi kemalangan pagi tadi, Tajuddin berkata, tiga bentuk bantuan kewangan tersebut ialah bantuan khas berjumlah RM1,000 untuk semua penumpang terbabit, bantuan kewangan untuk menampung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya bersesuaian dengan kecederaan yang ditanggung oleh para penumpang dan bantuan sara hidup bagi mereka yang kehilangan pendapatan akibat insiden ini.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan seluruh warga kerja Prasarana, kami memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan para penumpang kami khususnya atas insiden yang tidak diingini ini. Kami amat sedih dengan kejadian ini yang menghapuskan rekod bersih LRT Kelana Jaya yang telah beroperasi selama 23 tahun tanpa sebarang insiden sebegini.

“Di samping memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan PDRM, fokus utama kami adalah untuk pembuat penilaian dan mengesyorkan langkah segera yang akan diambil untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit,” ujar Tajuddin yang melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kejadian yang tidak diingini ini.

Prasarana turut melancarkan saluran khas di talian 014 737 1330 dan e-mel recovery2021@prasarana.com.my dan meminta para penumpang yang terlibat menghubungi Prasarana dengan secepat mungkin agar urusan bantuan khas ini boleh disegerakan.

Dalam pada itu, Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010. Di dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.33 malam pada 24 Mei 2021, sebuah tren tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali perkhidmatan awam ini, seramai 64 orang penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan. Daripada jumlah itu, seramai enam mangsa berada pada tahap kritikal dengan tiga daripadanya memerlukan vantuan ventilasi. Manakala 15 mangsa dalam tahap separa kritikal dan 43 orang pula cedera ringan.

Selebihnya, seramai 102 penumpang yang lain tiada kecederaan atau mengalami cedera ringan. Data tersebut diperoleh daripada Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Heric Corray menerusi e-mel kepada Prasarana pagi tadi. “Prasarana akan memberikan kenyataan lanjut secara berkala berkenaan insiden ini pada masa yang sesuai,” ujar Prasarana menerusi kenyataannya sebentar tadi.