BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

Selepas hampir dua bulan ditunjuk sebagai teaser, kini BMW 5 Series facelift G30 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sedan eksekutif yang disegarkan semula ini ditawarkan dalam varian plug-in hybrid 530e dan 530i, dengan kedua-duanya dipasang pakej M Sport.

Harga yang ditetapkan untuk dua model pemasangan tempatan ini adalah masing-masing RM317,534 untuk 530e M Sport dan RM368,122 untuk 530i M Sport, tidak termasuk insurans, bersama pengecualian SST dan jaminan dua tahun tanpa had batuan. Harga ini sah sehingga 30 Jun 2021, sebelum dinaikkan kepada masing-masing RM323,980 dan RM378,980 apabila ditambah SST.

Sekiranya pemilik mahukan jaminan lima tahun dan pakej servis percuma, harga ini menjadi masing-masing RM334,354 dan RM384,942 (RM340,800 dan RM395,800 dengan SST), dan masih lebih rendah berbanding harga anggaran sebelum ini. Walaubagaimanapun, ia masih sedikit lebih mahal berbanding model yang digantinya, disebabkan peningkatan kelengkapan yang diberi.

BMW 5 Series facelift 2021 dilancar di M’sia – varian M Sport 530e dan 530i, harga RM318k dan RM368k

Pada model facelift ini, beberapa bahagian luar diubah termasuk gril, lampu hadapan serta lampu belakang. Melalui pakej M Sport yang diberikan standard itu pula, model ini mendapat bukaan udara lebih besar pada bampar hadapan, bampar belakang rekaan baru dengan kemasan kelabu serta muncung ekzos trapezoid. Kedua-dua model juga menggunakan rim M Style 845 19 inci. Varian 530e ditambah dengan lampu utama LED adaptif.

Keunikan varian 530i adalah ia mendapat lampu hadapan jenis LaserLight, yang mana juga adalah pertama kali untuk 5 Series. Ia boleh dikenali melalui jalur seperti kening yang berwarna biru, dan bukannya putih. Kemudiannya, ia turut mendapat kemasan aluminium satin pada tepi tingkap dan sirip Air Breather.

Bahagian dalam tidak banyak berubah, kecuali butang kawalan pada roda stereng, butang pada konsol tengah warna hitam berkilat, tempat duduk yang dibentuk semula supaya lebih selesa, panel instrumen 12.3 inci dan infotainmen skrin sesentuh 12.3 inci (dua inci lebih besar berbanding sebelum ini).

Antara dua varian ini juga bahagian dalamnya hampir sama. Kedua-duanya mempunyai roda stereng M Sport, plet tepi pintu M, pedal aloi M, tempat duduk sport larasan kuasa dengan fungsi memori pada bahagian pemandu, balutan kulit Dakota, kemasan Smoke Grey Aluminium Rhombicle dan lapik bumbung hitam.

Kedua-dua varian 5 Series facelift ini juga mendapat pakej Parking Assistant Plus yang termasuk sistem kamera 360 darjah dan pandangan tiga dimensi yang boleh diakses secara kawalan jauh. Ada sedikit kelengkapan yang lebih untuk 530i iaitu bumbung suria, head-up display, 16 pembesar suara serta sistem bunyi Harman Kardon 464 watt (530e menggunakan sistem BMW HiFi 205 watt dengan 12 pembesar suara).

Selain daripada itu, kelengkapan biasa lain masih kekal sama, termasuklah sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, pengawal suhu empat zon, penghadang cahaya cermin belakang larasan kuasa, lampu dan pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang malap sendiri serta but bukaan elektrik tanpa sentuhan.

Bagi aspek keselamatan, kedua-dua model datang dengan pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist dan Blind Sport Monitoring dengan Rear Cross Traffic Alert. Varian 530i kemudiannya ditambah dengan Adaptive Cruise Control dengan Stop and Go.

Secara mekanikalnya, 530i facelift ini masih lagi sama seperti model sebelumnya. Walaupun enjin empat silinder turbo 2.0 liter B48 ini mendapat sistem suntikan bahan api tekanan lebih tinggi, kuasanya masih lagi berada di 252 PS pada 5,200 hingga 6,500 rpm dan 350 Nm tork pada antara 1,450 hingga 4,800 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada dua roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan.

Varian 530e pula mendapat penggerak yang dinaik taraf daripada 330e. Ia terdiri daripada gabungan enjin B48 184 PS/300 Nm dengan motor elektrik 50 kW (68 PS) dan transmisi automatik lapan kelajuan. Kuasa keseluruhan masih lagi 252 PS dan 420 Nm, tetapi fungsi XtraBoost membenarkan ia mendapat tambahan lagi 30 kW (41 PS) waktu mula memecut.

Penggunaan bateri 12 kWh yang lebih besar (sebelum ini 9.2 kWh) memberikan peningkatan pada jarak gerak elektrik penuh, menjadi 67 km daripada 48 km, dan penggunaan bahan api boleh menjadi 2.3 liter bagi setiap 100 km (pemanduan bercampur). Satu lagi ciri baru pada 530e adalah pembesar suara di luar yang boleh mengeluarkan bunyi untuk memberi amaran kepada pejalan kaki atau penunggang basikal sehingga kelajuan 30 km/j.

Model 5 Series facelift ini ditawarkan dalam lima warna iaitu Alpine White dan metallic Carbon Black dengan balutan dalam Cognac, dan Phytonic Blue, Sophisto Grey dan Bluestone dengan kemasan dalam warna hitam. Aksesori lain yang ditawarkan juga ada pelbagai.

GALERI: BMW 530e M Sport facelift 2021

GALERI: BMW 530i M Sport facelift 2021

BMW 5 Series facelift 2021 dengan M Performance Parts

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required