Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

Selepas memperkenalkan model prestasi tinggi, Cupra kini kembali dan mendedahkan pula kereta elektrik pertamanya. Perkenalkan, Cupra Born, sebelum ini dikenali sebagai model konsep el-Born. Ada empat varian bateri ditawarkan, dengan janaan dari 150 PS hingga 231 PS.

Direka dan dibangunkan di Barcelona, Cupra Born akan masuk produksi hujung tahun ini di kilang Zwickau milik Volkswagen Group di Jerman, yang merupakan kilang EV terbesar di Eropah. Model ini menggunakan seni bina MEB yang sama dengan barisan model Volkswagen ID, jadi kebanyakan bahagian yang digunakan, terutama janaan kuasa dan kapasiti bateri akan dikongsi.

Model peringkat kemasukan dengan 150 PS (motor tunggal, pacuan roda belakang) dilengkapi dengan pek bateri 45 kWh, menawarkan jarak sehingga 340 km. Satu tingkat di atas pula ialah versi dengan bateri 50 kWh (dengan jarak 420 km), hadir sama ada dengan 204 PS atau 231 PS. Varian paling lengkap pula datang dengan pek bateri 77 kWh (jarak 540 km) dan output 231 PS. Tork standard ialah 310 Nm bagi setiap varian.

Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

Dari segi prestasi, model 150 PS boleh memecut 0-100 km/j dalam 8.9 saat. Model 204 PS memecut sama dalam masa 7.3 saat, sementara 231 PS (58 kWh) mencapai 6.6 saat. Varian yang lebih berat dengan 231 PS dengan bateri 77 kWh memecut 7.0 saat. Hanya model 231 PS yang akan menerima pek prestasi e-Boost, yang akan diperkenalkan dari tahun 2022.

Pelanggan boleh memilih sistem kawalan casis, yang hadir dengan empat mod pemandua — Range, Comfort, Individual atau “Cupra”. Ini akan memberikan kelebihan terhada pengendalian, membolehkan pemandu untuk terus memanfaatkan agihan berat 50:50.

Untuk pengecasan, bateri paling besar 77 kWh menjadi satu-satunya dengan sokongan pengecasan pantas DC penuh 125 kWh (CCS Combo 2). Ini membolehkan pengecasan dari 5% hingga 80% dalam masa sekitar 35 minit. Model dengan bateri 58 kWh pula, pengecasan pantas DC ialah pada 100 kW, sementara versi bateri 45 kWh pula boleh dicas pada kadar maksimum 50 kW.

Spesifikasi pengecas bersepadu itu bagaimanapun masih belum didedahkan, tetapi melihat kepada standard oleh VW Group, ia mungkin datang dengan pengecas AC 11 kW (Type 2), dengan pilihan naik taraf kepada unit 22 kW. Mengecas bateri 77 kW (dari 0-100%) pada kadar 22 kW mengambil masa 7.5 jam, atau sekali ganda tempoh berkenaan dengan pengecas 11 kW.

Cupra Born mempunyai dimensi 4,322 mm panjang, 1,809 mm lebar, 1,537 mm tinggi dan jarak antara roda 2,767 mm. Ini tidak jauh beza saiz dengan ID.3, dengan Cupra tampil lebih menarik dengan profil sporty. Lain-lain sentuhan yang menjadikannya unik ialah kecondongan agresif pada tiang A, cermin sisi di pintu, tiang B hitam berkilat, dengan tiang C terapung, spoiler besar, bumbung panoramik saiz besar, jalur lampu LED bersambungan di belakang serta diffuser belakang bersepadu.

Saiz rim ditawarkan antara 18-inci hingga 20-inci, dengan kelebaran tayar 215 mm hingga 235 mm. Pilihan warna pula terdiri daripada enam — Vapour Grey, Glacial White, Geyser Silver, Rayleigh Red, Quasar Grey, dan warna ekslusif Aurora Blue.

Cupra Born 2021 EV diperkenal – 4 varian, hingga 231 PS & bateri 77 kWh, pengecasan pantas 125 kW DC

Di dalam, rekaannya masih kekal sama seperti yang ditunjukkan pada model konsep el-Born, dan selari dengan rekaan dalaman model Cupra lainnya. Papan pemuka bersih dan ringkas, dengan paparan skrin sentuh 12-inci di tengah, gaya terapung. Cupra Connect datang sebagai standard, dan boleh dihubungkan kepada aplikasi telefon My Cupra.

Ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dengan sistem audio Beats sembilan pembesar suara. Pelantar pengecas telefon tanpa wayar Qi juga ada untuk semua varian. Stereng balutan kulit dan rata bahagian bawah adalah standard untuk model Cupra, begitu juga dengan panel instrumen digitalnya. Beberapa bahagian turut menggunakan bahan komposit dari plastik kitar semula. Ruang but ialah 385 liter.

Bagi aspek keselamatan, ada sistem bantuan pemandu disediakan, seperti ciri Predictive Adaptive Cruise Control, Travel Assist, Side dan Exit Assist, Traffic Sign Recognition, Emergency Assist, dan Pre-Crash Assist. Sistem lain seperti bantuan lampu tinggi, kamera sudut atas (360-darjah), Intelligent Park Assist dan servis eCall juga ada.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required