Honda Malaysia kini menawarkan pilihan untuk kamera parkir bagi model HR-V dan BR-V. Sebagai aksesori rasmi, kamera ini hadir dengan perumah khusus untuk memastikan pemasangan yang sangat mudah untuk kedua-dua model.

Sama seperti sistem kamera parkir 360-darjah yang lain, ia melibatkan kamera di depan, belakang, serta cermin sisi kiri dan kanan. Visual yang dihasilkan “dicantum” sekali untuk memberikan pandangan dari atas bagi kenderaan terbabit, dipaparkan pada head unit skrin sentuh di tengah. Ini membantu memudahkan pemandu untuk melihat ruang yang ada untuk memasuki parkir.

Sistem kamera parkir ini ditawarkan sebagai pilihan bagi pembelian baru model berkenaan, tetapi pemasangan secara berasingan juga boleh dilakukan kepada pemilik kenderaan sedia ada. Ia boleh dipasangkan pada model HR-V (semua varian) dari model tahun 2019 ke atas — versi facelift.

Bagi BR-V, hanya varian V boleh menerima pemasangan ini. Varian E yang paling asas tidak mempunyai skrin infotainmen untuk paparan kamera itu. Harganya ialah RM3,300 untuk semua model. Sebelum tambahan ini, BR-V dijual pada harga dari RM86,726 hingga RM93,693, sementara HR-V dari RM104,000 hingga RM118,854, atas jalan tidak termasuk insurans, dengan pengecualian SST.