Polis hari ini mengumumkan bahawa surat kebenaran perjalanan untuk bekerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedia ada masih boleh digunakan sehingga 3 Jun ini, lapor The Star.

Dalam sidang media yang dibuat pada hari ini, Ketua Polis Daerah Petaling Jata ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata masih lagi ramai yang menggunakan surat berkenaan untuk bergerak ke tempat kerja hari ini.

“Ada yang cakap surat baru masih lagi belum dapat, manakala yang lain menyatakan bahawa mereka baru memohon semalam. Jadi, seperti arahan dari Ketua Polis Selangor, kami akan benarkan penggunaan surat lama ketika kami melakukakan pemeriksaan di sekatan jalan raya sehingga 3 Jun.

“Kami juga menasihatkan mereka agar meminta majikan masing-masing untuk memohon surat MITI baru, atau surat kebenaran dari kementerian-kementerian berkaitan,” katanya dan turut menegaskan pihak polis akan mula mengeluarkan kompaun sebaik sahaja tempoh kelonggaran berkenaan tamat.