Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

Naza Italia telah memperkenalkan secara rasmi Ferrari SF90 Spider untuk pasaran Malaysia dan dijual pada harga bermula dari RM2,088,000 (sebelum duti, pilihan kustom, teks dan insurans).

Model F173A ini pada asasnya adalah model sama dengan SF90 Stradale, tetapi dengan rekaan open-top yang membezakan gayanya. Ukuran dimensi juga ada yang berubah, walaupun tidak ketara — dengan ukuran 4,704 mm panjang, 1,973 mm lebar dan 1,191 mm tinggi, Spider lebih pendek (-6 mm), lebih lebar (+1 mm) dan lebih tinggi (+ 5mm) berbanding versi coupe.

Dari sudut rekaan, wajah depannya dikekalkan, dan perubahan hanya dilakukan bermula dari bahagian cermin depan ke belakang. Kokpit lebih ke depan bagi Spider, cermin depan berbeza kecondongan serta tiang A direka semula, menjadikannya lebih langsing dengan bumbung yang lebih rendah 20 mm.

Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

Berkenaan bumbung boleh lipatnya, unit aluminium itu boleh dipasang atau dibuka dalam masa 14 saat, dan boleh dilakukan dalam kelajuan hingga 45 km/j. Unit ini juga hanya menggunakan 100 liter ruang keseluruhannya. Bumbung ini juga memerlukan beberapa perubahan dilakukan. Antena “sirip jerung” misalnya dialih kedudukannya. Pada Stradale, ia dipasang pada bumbung, tetapi pada Spider ia lebih belakang.

Oleh kerana bumbung ini terletak di atas ruang enjin, fungsi aliran udara di kawasan itu juga tentulah terhalang. Untuk itu, ada rekaan khas disertakan pada bahagian cermin belakang SF90 Spider yang berfungsi sebagai “corong” mengalihkan udara panas tanpa mengganggu aerodinamik kenderaan ketika bergerak.

Unit janaan kuasa hibrid pada Spider sama saja dengan Stradale, menggabungkan enjin turbocas V8 dengan tiga motor elektrik, yang mana dua daripadanya adalah independent dan terletak di gandar depan RAC-e elektrik. Motor ketiga (Motor Generator Unit, Kinetic) diletakkan antara enjin dan kotak gear di belakang. Turut hadir ialah transmisi klac berkembar basah lapan kelajuan F1.

Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

Pek bateri lithium-ion 7.9 kWh SK Innovations, yang diletakkan di bawah tempat duduk, menyediakan Spider dengan jarak 25 km dengan janaan elektrik sepenuhnya, sehingga 135 km/j. Sama seperti pada Stradale, kereta ini memerlukan masa tiga jam untuk pengecasan bateri dengan kaedah plug-in hybrid.

Enjin V8 ini menghasilkan sebanyak 780 PS pada 7,500 rpm dan 800 Nm tork pada 6,000 rpm, sementara tiga motor elektrik itu menawarkan 220 PS (atau 162 kW), menjadikannya 1,000 PS (atau 986 hp) keseluruhannya. Walaupun 100 kg lebih berat berbanding Stradale dengan 1,670 kg, Spider kurang sedikit prestasinya; pecutan 0-100 km/j adalah sama dengan masa 2.5 saat, tetapi sedikit lambat berbanding Stradale bagi pecutan 0-200 km/j dengan 7.0 saat (Stradale 6.7 saat). Laju maksimum kedua-duanya sama, 340 km/j.

Empat mod pemanduan disediakan, dipilih melalui pengawal eManettino. Yang pertama ialah eDrive, operasi elektrik sepenuhnya. Diikuti dengan Hybrid, yang merupakan mod pemanduan standard kereta ini sebaik dihidupkan. Mod ketiga ialah Performance, yang mengekalkan enjin beroeprasi dan memberi keutamaan mengecas bateri, dan yang terakhir ialah Qualify, yang mengutamakan prestasi berbanding pengecasan bateri.

Ferrari SF90 Spider diperkenal secara rasmi di M’sia — plug-in hybrid bumbung terbuka, dari RM2.088 juta

Di dalam, kabin Spider juga mirip ruang yang sama pada Stradale. Antara kelengkapan yang ada ialah skrin instrumen digital melengkung 16-inci berdefinisi tinggi, roda stereng dengan touchpad dan butang haptic lainnya, head-up display, sistem navigasi baru serta kunci baru. Sama seperti Stradale, pek pilihan Assetto Fiorano turut ditawarkan bagi SF90 Spider ini.

Antara yang dimaksudkan ialah livery dua tona, panel pintu gentian karbon serta spring titanium dan ekzos. Turut ada ialah spoiler belakang gentian karbon, penyerap hentak Multimatic GT untuk kegunaan optimum di trek, serta tayar Michelin Pilot Sport Cup2.

Bagaimanapun, unit ini tidak dibuka untuk tontonan umum, kerana ia akan beralih ke destinasi seterusnya. Kereta ini dijadualkan untuk ditunjuk minggu lalu, tetapi disebabkan PKP 3.0 penuh yang berlangsung sekarang ini, ia tidak dapat dilakukan. Semua material pelancaran ini dilakukan sebelum tempoh PKP 3.0 tersebut.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required