Model terkini Triumph yang baru sahaja diperkenalkan secara rasmi beberapa hari lalu, iaitu Speed Twin 2021 sudah boleh ditempah di Malaysia melalui pengedar rasminya. Harga yang disiarkan adalah RM77,900 untuk versi Jet Black dan tambahan RM1,000 untuk warna premium, menjadi RM78,900.

Bagi model baru ini, enjin dua silinder selari SOHC 1,200 cc penyejukan cecair padanya kini melepasi tahap emisi Euro 5 dan mampu menghasilkan kuasa 98.6 hp pada 7,250 rpm – 3 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini – dan tork 112 Nm pada 4,250 rpm – lebih cepat berbanding 4,950 rpm sebelum ini.

Antara bahagian yang diubah dalam enjin tersebut adalah crankshaft dan alternator, yang menjadikan putarannya lebih ringan 17% dan membolehkan had rpm dijadikan lebih tinggi 500 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama piston mampatan tinggi, profail cam baru dan lubang udara yang diubah. Servis menyeluruh (major) pertama motosikal ini sekarang boleh dilakukan pada 16,000 km.

Bahagian pengendalian juga dinaik taraf, dengan fork USD 43 mm Marzocchi yang digunakan sekarang adalah spesifikasi lebih tinggi berbanding unit 41 mm sebelum ini, tetapi ia bagaimanapun masih tidak boleh dilaras. Di belakang, terdapat dua penyerap hentak yang boleh dilaras untuk pra beban.

Bahagian brek tidak ketinggalan. Street Twin 2021 mendapat cakera berkembar 320 mm bersama angkup Brembo M50 Monobloc empat piston di hadapan sementara di belakang menggunakan cakera 220 mm dan angkup dua piston. Sistem ABS diberikan secara standard.

Bagi mod tunggangan, kini penunggang diberikan tiga pilihan iaitu Road, Rain dan Sport, dan penukarannya boleh dilakukan sambil bergerak. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup sekiranya mahu. Bentuk asas motosikal ini masih tidak berubah tetapi ergonomiknya diperbaiki tempat letak kaki yang lebih rendah dan sedikit ke hadapan. Berat keseluruhan Street Twin 2021 adalah 216 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 14.5 liter.