Perodua menjual sebanyak 17,973 unit kenderaan sepanjang bulan Mei 2021, 12% lebih rendah berbanding 20,399 unit yang dijual sepanjang April. Pendahulu pasaran itu menyatakan bahawa kesan pandemik yang berterusan serta kekurangan bekalan semikonduktor global sebagai penyumbang hal ini. Walaupun begitu, Perodua tetap mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 240k unit untuk tahun ini.
Sepanjang lima bulan setakat ini bagi tahun 2021, jualan yang dicatatkan syarikat ini ialah sebanyak 96,281 unit. Angka ini sebenarnya 82% lebih berbanding apa yang dicapai Perodua dalam tempoh sama tahun lalu. Apa pun, jualan tempoh sama sehingga Mei 2020 yang hanya mencatatkan 52,920 unit adalah disebabkan oleh PKP pertama yang dikenakan dari bulan Mac hingga Mei tahun lalu.
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata perbandingan yang lebih adil adalah dengan melihat tempoh sama dalam tahun 2019, dengan Perodua ketika itu mencatatkan jualan 105,745 unit — 8.9% lebih tinggi berbanding tahun ini.
“Dengan segala cabaran serta ketidak-tentuan ketika ini, kami yakin akan dapat mencapai sasaran 240,000 unit jualan tahun 2021 memandangkan permintaan kekal kuat bagi semua model kenderaan Perodua. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan lagi tempoh pengecualian cukai SST hingga hujung 2021, yang akan memperkukuhkan lagi permintaan, merancakkan aktiviti ekonomi dan membantu mengekalkan ekosistem automotif Malaysia.
“Kami faham langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan pandemik ini adalah perlu untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua. Untuk itu, kami bersama seluruh pengedar dan pembekal akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan untuk melandaikan lengkungan jangkitan wabak ketika ini,” tambah beliau.
Berkairan operasi pusat servis sepanjang tempoh PKP ketika ini, beliau menasihatkan pelanggan untuk menghubungi pusat servis Perodua terdekat untuk maklumat semasa. Perodua mengilangkan sebanyak 18,283 unit sepanjang Mei, menjadikan jumlah pengeluarannya setakat ini pada tahap 98,944 unit.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.