Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

Nissan bakal menamatkan riwayat tiga sedan terakhirnya di Jepun iaitu Skyline, Cima dan Fuga kerana populariti kereta empat pintu berkenaan telah menurun, dan pengguna semakin berminat dengan model-model SUV, lapor Nikkei Asia.

Menurut satu sumber yang rapat dengan perkara ini kepada portal berita tersebut, pembekal-pembekal komponen utama Nissan telah pun diberitahu berkenaan rancangan itu pada Jumaat lalu. Namun Nissan sendiri masih enggan memberikan sebarang komen terhadap perkara ini.

Tahun lalu produksi sedan lebih kecil iaitu Nissan Sylphy telahpun ditamatkan di Jepun. Manakala tiga lagi model sedan terakhir yang masih dijual berkenaan adalah untuk segmen lebih premium di negara matahari terbit tersebut. Dengan mengurangkan penawaran menerusi penamatan model-model sedan ini akan membolehkan Nissan melabur untuk membangunkan lebih banyak model-model SUV serta elektrik sepenuhnya (EV).

Buat masa sekarang, Skyline, Cima dan Fuga diproduksi di kilang Nissan Tochigi. Kilang tersebut juga turut dirancang untuk memproduksi SUV EV Nissan Ariya pada tahun ini, dan fasiliti berkenaan berkemungkinan akan hanya menghasilkan model-model elektrik selepas ini.

Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

Seperti yang ramai tahu, sedan Skyline telah pun diperkenalkan pada tahun 1957 yang ketika itu dihasilkan oleh Prince Motor Company. Nama Skyline mula menjadi bualan apabila ia dihasilkan dalam versi GT-R menerusi model generasi ketiga pada tahun 1969. Model coupe dua pintu Skyline GT-R hanya diperkenalkan pada tahun 1970.

Selepas dari model R34, Nissan telah memisahkan Skyline dan GT-R bagi membolehkan R35 GT-R tampil sebagai kereta sport sebenar, berbanding sebuah model yang diasaskan dari sebuah sedan keluarga seperti model-model sebelumnya. Strategi ini membuatkan nama Skyline itu sendiri agak tenggelam kerana model-model V35, V36 dan V37 dijual di luar Jepun dengan jenama mewah mereka iaitu Infiniti.

Model terakhir sedan Nissan Skyline V37 (atau dikenali dengan nama Infiniti Q50 di Malaysia) telah tampil dalam versi facelift di Jepun pada 2019. Selain dari teknologi pemanduan sendiri ProPILOT 2.0. Skyline 2019 tersebut juga telah tampil dengan muka seakan GT-R R35.

Selain dari model coupe dan sedan, Skyline juga dihasilkan dalam bentuk SUV yang dipanggil Nissan Skyline Crossover bermula dari generasi V36 pada pasaran Jepun. Model yang sama dijuga telah dijual di luar negaran dengan nama Infiniti QX50. Jadi walaupun pengeluaran sedan bakal ditamatkan, nama Skyline dijangka masih akan digunakan untuk model-model SUV dan elektrik Nissan kerana ia mempunyai pengikutnya tersendiri.

Nissan akan hentikan model sedan Skyline, Fuga dan Cima di Jepun untuk tumpu bangunkan SUV dan EV

Nikkei turut mendedahkan bahawa data dari firma penyelidikan MarkLines menunjukkan empat model sedan Nissan hanya berjaya dijual sebanyak 5,800 unit di Jepun pada tahun 2020, atau hanya 1% dari jumlah keseluruhan jualan mereka. Ia jelas menunjukkan penurunan yang mendadak kerana Skyline sahaja berjaya dijual sejumlah 660,000 unit dalam masa empat tahun pada era 1970’an.

Walau bagaimanapun, jualan sedan Nissan masih lagi baik di luar Jepun dengan sekitar 950,000 unit kereta empat pintu jenama Nissan terjual di pasaran-pasaran utama pada 2020. Tetapi angka berkenaan juga sebenarnya menunjukkan penurunan ketara kerana pda 2016 Nissan berjaya menjual sebanyak 1.7 juta sedan. Buat masa sekarang, sedan masih popular untuk pasaran seperti China dan berberapa negara lain.

Langkah Nissan untuk menghentikan pembangunan model-model sedan di Jepun ini merupakan sebahagian dari rancangan yang telah diumumkan pada Mei 2020 bagi mengurangkan sekitar lima model dalam barisan model mereka menjelang tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2024.

GALERI: Nissan Skyline GT V37 Hybrid facelift di Tokyo Motor Show 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required