Suzuki Australia bakalmemperkenalkan Jimny Lite pada 1 Ogos ini, susulan “permintaan yang menggalakkan” untuk model popular ini. Ia akan menjadi varian Jimny yang kedua ditawarkan di negara berkenaan – Jimny dilancarkan di sana pada 2019 dengan menawarkan satu varian, namun pelanggan boleh memilih sama ada transmisi automatik atau manual.

Jimny Lite berkongsi unit enjin yang sama iaitu K15B 1.5L naturally-aspirated empat-silinder dengan 105 PS dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Walau bagaimana pun, ia hanya akan ditawarkan eksklusif dengan transmisi manual. Sistem pacuan empat-roda AllGrip Pro separuh-masa juga akan ditawarkan, menampilkan julat tinggi dan rendah (2H, 4H, dan 4L).

Untuk kelengkapannya, ia diberikan ciri standard termasuk roda keluli gelap 15-inci, dan penutup cermin sisi tekstur plastik dan lampu utama projektor halogen. Lampu kabus hadapannya telah disingkirkan. Di dalamnya, Jimny Lite menerima pemain CD/radio in-dash yang lebih asas dengan ketersambungan Bluetooth, dan sistem kawalan suhu manual.

Pengarah Urusan Suzuki Australia , Michael Pachota berkata: “Kami memberikan apa yang pelanggan mahu – lebih banyak Jimny! Dengan peningkatan permintaan yang berterusan untuk model ini, kami berbesar hati untuk menambah satu lagi varian untuk barisan Jimny di sini dan akan terus mengembangkan lagi komuniti Jimny dengan peluang pebawaran tambahan.”

Tambahnya, “Kami juga akan mengekalkan proses peruntukan yang adil berdasarkan tempahan para pelanggan dengan sistem giliran seperti mana yang dilakukan untuk model semasa Jimny pada 2021, bagi memastikan tempahan seterusnya dalam giliran untuk mendapatkan kereta ini.” Harga dan perincian penuh mengenai varian ini akan diumumkan tidak lama lagi.