Laman Facebook Hyundai Malaysia telah memuat naik soalan pada awal minggu ini; adakah anda merindui aktiviti luaran? Rupa-rupanya memberikan bayangan mengenai Palisade, SUV tujuh-tempat duduk baharu yang mungkin bakal dilancarkan di sini dalam waktu terdekat ini, seperti mana yang Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) pernah umumkan pada Mac lalu.

Hyundai Palisade memiliki ukuran 4,981 mm panjang, 1,976 mm lebar dan 1,750 mm tinggi dengan jarak roda cecah 2,900 mm. Untuk enjinnya, Paliside versi pasaran Malaysia akan dilengkapi dengan unit 3.8 liter V6 yang mampu menghamburkan kuasa cecah 291 hp pada 6,000 rpm dan tork 355 Nm pada 5,000 rpm.

Transmisinya standard dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, dengan pacuannya disalurkan sama ada ke roda-hadapan atau pun semua-roda dengan sistem HTRAC AWD. Operasi kotak gearnya menerusi shift-by-wire ‘gearstick’, yang menampilkan park logic automatik iaitu gear akan terus ‘masuk ke P’ apabila enjin dimatikan.

Dengan dimensi yang besar, Palisade mampu memuatkan 510 liter bagi penyimpanan barangan sekiranya semua tempat duduk dalam keadaan normal, tetapi jika inginkan kapasiti yang lebih dari itu, barisan ketiga tempat duduk boleh dibaringkan dan memberikan sehingga 1,297 liter secara keseluruhannya. SUV ini mempunyai bentangan tempat duduk 2-2-3 di mana barisan tengah diberikan sepasang tempat duduk kapten dengan fungsi pemanas dan juga ventilasi.

Buat masa ini, tiada spesifikasi kelengkapan yang didedahkan, namun Palisade dijangka ditampilkan dengan kluster instrumen TFT 12.3-inci untuk pemandu, dan unit infotainmen Display Audio lapan-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Bagi sesetengah pasaran, ia turut menawarkan unit infotainmen yang lebih besar iaitu bersaiz 10.25-inci.

Selain itu, ciri lain yang mungkin ditawarkan termasuklah vent diffuser untuk pendingin hawa, yang boleh menyebarkan pengaliran udara separa atau secara penuh hingga ke penumpang belakang, serta tujuh port pengecasan USB.

Bukan itu sahaja, ia juga menyediakan 16 tempat letak cawan, Driver Talk intercom untuk berkomunikasi dengan penumpang belakang, dan Rear Sleep Mode yang membolehkan pemandu dan penumpang hadapan terus mendengar audio tetapi tidak didengari penumpang di belakang.

Palisade telah pun memasuki negara jiran, Indonesia, pada Disember lalu, dengan menawarkan tiga varian bermula pada harga 777 juta rupiah (RM222,821) untuk model asas Prime, disusuli dengan Signature berharga 888 juta rupiah (RM245,653) dan juga varian tertinggi Signature AWD pula 1.078 bilion rupiah (RM309,139).

Versi pemanduan sebelah kanan (RHD) Palisade untuk pasaran termasuk Malaysia, Australia dan New Zealand diproduksi di kilang yang sama dengan versi pemanduan sebelah kiri (LHD) di kilang Hyundai yang terletak di Ulsan, Korea Selatan.