Seperti kejayaan yang dikecapi oleh MPV popular, Starex, Staria baharu juga dijangka akan mencipta cetusan yang sama dalam sektor kenderaan komersil dan pengangkutan penumpang. Dengan perkhabaran yang dipaparkan menerusi laman Facebook, Hyundai Thailand telah mengesahkan Staria ini akan dilancarkan di negara berkenaan pada 9 Julai ini.

Seperti imej yang dipaparkan di atas, kelihatannya Thailand akan menerima versi standard bagi MPV berkenaan, yang dilengkapi dengan kepingan gril yang sama dengan warna badannya dan lampu utama LED reflektor lebih kecil, berbanding gril tembaga yang menyerlah dan lampu pelbagai-projektor yang diberikan pada model Premium.

Walau bagaimana pun, Staria masih tetap menyerlah berbanding dengan pesaingnya, ini termasuklah dengan rekaan ala kapal angkasa, lampu nyalaan siang LED nipis dan kelengkapan dalaman yang moden serta diberikan teknologi infotainmen dan paparan terkini Hyundai. Versi standard juga menawarkan beberapa konfigurasi tempat duduk dari tiga hingga ke 11 bangku, tetapi model Premium turut diberikan tempat duduk barisan kedua dengan gaya ala-kelas perniagaan.

Model untuk Thailand ini juga dijangka akan didatangkan dengan versi Smartstream yang dinaiktaraf bagi 2.2 liter R turbodiesel, yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS dan tork 431 Nm serta dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan. Namun untuk pasaran negara lain, Staria juga diberikan pilihan enjin 3.5 liter V6 dengan kuasa 272 PS, tetapi mungkin tidak akan ditawarkan bagi rantau ini, di mana kenderaan komersil janaan diesel lebih menguasai pasaran.

Adakah Malaysia bakal menjadi pasaran seterusnya yang akan dapat Staria? Di sini, ternyata tumpuan yang lebih ketara terhadap barisan kereta penumpang Hyundai termasuk banyak model baharu yang dilancarkan, malahan Palisade juga dikatakan bakal menantikan masa untuk dilancarkan di pasaran tempatan. Malah Starex juga antara model Hyundai yang agak mencatatkan kejayaan dalam jualan di sini, jadi untuk Staria, kena tunggu dan lihat adakah ia turut tersenarai untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan.