Model edisi istimewa Volkswagen Tiguan Urban Sport telah pun dilancarkan di Eropah. Ia berasaskan model facelift terkini, dijual pada harga bermula 33,125 euro (RM163k) untuk varian asas 1.5 TSI dengan 130 PS. Pelanggan boleh memilih sehingga sembilan penjana kuasa dan transmisi yang ada dalam penawaran.

Keunikan kereta ini antaranya bampar belakang yang sama warna dengan badan dihiasi jaluran reflektif, kemasan krom pada ekzos, spoiler belakang yang lebih besar dengan penggayaan R. Manakala bampar hadapan menerima serlahan hitam berkilat, dan cermin sisi kini ditampilkan dengan “Urban Sport” yang dipancarkan ke permukaan bawah. SUV ini juga diberikan roda aloi Sebring 18-inci secara standard.

Di dalamnya, kemasan istimewa termasuk ambang pintu iluminasi dengan perkataan Urban Sport, pedal kaki keluli tahan karat, alas lantai istimewa dengan pinstripe merah dan jahitan kelabu, serta balutan tempat duduk dengan rekaan baharu dalam warna hitam dan anthracite bersama jahitan merah.

Lain-lain ciri standard yang ditampilkan termasuklah stereng progresif dan casis sport, tingkap belakang dengan lapisan filem tinted, lampu utama LED dengan sistem Light Assist, radio digital DAB+, sistem tri-zone Air Care Climatronic dengan penapis kombinasi aktif dan Lane Assist.

Malahan pelanggan juga boleh memilih pakej Urban Sport Plus dengan kos tambahan 1,995 euro (RM9.8k). Ini merangkumi paparan utama, sistem bunyi Harmon Kardon 9-pembesar suara 480-wat dengan 16-saluran amplifier dan subwoofer, serta lampu utama LED matrix dengan lampu selekoh dinamik.