Dipertontonkan pada April lalu dengan harga jangkaan, BMW 330Li M Sport G28 kini telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga yang dimuktamadkan. Sedan sport dengan jarak roda yang lebih panjang ini dijual pada harga atas jalan. RM277,164 tanpa insurans (hampir lebih RM6,000 berbanding 330i G20 standard), termasuk pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir pada 31 Disember ini.

Harga tersebut turut didatangkan dengan waranti dua-tahun, tanpa had perbatuan; namun jika dengan waranti lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya melonjak ke RM290,284. Walau bagaimana pun, ia kurang RM10,000 berbanding harga jangkaan sebelum ini.

Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, BMW 330Li M Sport sebenarnya adalah versi jarak roda lebih panjang (LWB) bagi 3 Series G20 biasa, dan ia sudah diperkenalkan terlebih dahulu di Thailand awal tahun ini. Ukuran jarak rodanya adalah 2,961 mm (+110 mm) manakala panjang keseluruhan pula adalah 4,819mm (+110). Ketinggiannya turut bertambah enam milimeter menjadi 1,441 mm.

Dimensi baru ini juga menghasilkan ruang dalam yang lebih, di mana penumpang belakang dapat menikmati tambahan 4 mm lagi di bahagian kepala, serta 42 mm lagi ruang kepala tambahan bagi penumpang belakang, berbanding 330i M Sport. Selain itu, ruang butnya juga bertambah 10 liter, kini menjadi 480 liter.

Kelengkapannya tidak banyak beza, 330Li turut dipadankan dengan pakej M Sport dengan bampar yang lebih agresif dan skirt sisi yang lebih ke dalam, serta lampu utama LED adaptif. Satu-satunya perbezaan yang ada ialah ia tidak diberikan lampu kabus LEd, dan ditampilkan dengan rim M Sport Style 848 M 18-inci dengan tayar run-flat dari 4 Series, yang menggantikan roda pelbagai-jejari 790 M.

Di dalamnya, 330Li turut menerima kelengkapan M termasuk roda stereng kulit dan pedal, manakala kemasan pula menggunakan Aluminium Tetragon dan Pearl Chrome. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3-inci BMW Live Cockpit Professional manakala untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan BMW Navigation System Professional dengan skrin sesentuh 10.25-inci.

Kelengkapan lain yang diberi termasuk cermin anti silau, tempat duduk larasan kuasa dengan fungsi memori untuk pemandu, lampu suasana 11-warna, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga zon serta Comfort Access System. Pemilik juga boleh menikmati khidmat seperti navigasi on-the-go dan e-mobility melalui aplikasi My BMW yang menggantikan BMW Connected pada telefon pintar.

Untuk sistem bantuan pemandu, 330Li M Sport datang dengan Lane Departure Warning, Lane Change Warning, Front Collission Warning, Cross Traffic Warning, Rear Collission Prevention, Cruise Control dengan fungsi membrek, Active Pedestrian Safety serta Parking Assistant.

Enjin pada model jarak roda panjang ini masih lagi sama seperti 330i M Sport, iaitu unit empat silinder petrol TwinPower Turbo 2.0L yang mampu menghasilkan 258 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 400 Nm tork pada 1,550 hingga 4,400 rpm, bersama transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan dan menyalurkan kuasa pada roda belakang. Masa pecutan 0-100 km/j bagaimanapun bertambah sedikit menjadi 6.2 saat, berbanding 5.8 saat bagi 330i M Sport. Manakala penggunaan bahan api dianggarkan pada kadar 6.4 liter bagi setiap 100 km.

Selain itu, stereng dan ssuspensi M Sport Passive pada 330i telah ditukar dengan stereng Servotronic dan suspensi yang lebih selesa untuk pengendalian yang lebih mantap. Dua pilihan warna luaran ditawarkan, iaitu Mineral White dan Carbon Black, sementara gril kidney padanya pula diwarnakan hitam dan mempunyai kemasan keliling krom.