Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

Mercedes-Benz baru sahaja mendedahkan strategi masa hadapan, yang akan melihatkan syarikat Jerman itu bersiap untuk beralih kepada elektrik secara penuh menjelang akhir dekad ini. Ya, syarikat itu mahu menghentikan penggunaan enjin pembakaran dalaman, tetapi ia tidak akan dibuat secara mengejut dan akan bergantung kepada keadaan pasaran.

Strategi baru ini sebenarnya adalah pengembangan kepada strategi Electric First yang dibentangkan Oktober lalu. Pada masa itu, mereka telah mengesahkan pelancaran empat kenderaan elektrik baru menggunakan asas Electric Vehicle Architecture (EVA), iaitu EQS, EQE, SUV EQS dan SUV EQE. Jenama AMG, Maybach dan G-Class di bawahnya juga akan ditukar kepada penggerak elektrik.

Pada tahun 2024, Mercedes-Benz akan memperkenalkan satu lagi platform khas EV, dipanggil sebagai Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA), dan akan digunakan untuk model bersaiz kompak dan sederhana. Itu sekadar satu ulangan, tetapi apakah rancangan terbaru mereka?

Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

Sebagai permulaan, syarikat itu akan menawarkan pilihan versi elektrik bateri dalam semua segmen bermula 2022. Inisiatif ini sudah pun bermula, dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV ditawarkan kepada pasaran tertentu.

Pada tahun 2025, peralihan kepada EV-sahaja akan diperkuatkan lagi dengan semua platform yang akan diperkenalkan adalah untuk kenderaan elektrik sahaja. Malahan, platform baru itu nanti tidak akan dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman langsung dan hanya untuk elektrik dan bateri sahaja.

“Sekarang kami percaya keutamaan pelanggan akan bertukar dengan lebih cepat. Kereta elektrik penuh akan mendominasi pasaran mewah menjelang tahun 2030,” kata Britta Seeger yang bertanggungjawab untuk jualan dan pemasaran kenderaan di Mercedes-Benz.

Mercedes-Benz akan beralih kepada elektrik secara penuh menjelang tahun 2030 – langkah sudah bermula

Semasa pembentangan, Mercedes-Benz mengesahkan tiga platform baru, termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta bersaiz sederhana dan besar. Ini adalah satu sistem modular yang akan menjadi pendokong utama untuk portfolio EV masa hadapan. Kemudiannya ia akan ditambah dengan AMG.EA untuk kenderaan prestasi dan VAN.EA untuk van serta kenderaan komersial ringan.

Setakat ini syarikat itu masih belum memberikan kata putus bila enjin pembakaran dalaman akan dihapuskan terus daripada barisan model mereka, tetapi ia tidak akan mengambil masa yang lama lagi kerana pelaburan untuk pembangunan enjin itu akan berkurang semasa peralihan ini. “Sudah tentu, tiada siapa dapat menjangka bila penjualan enjin pembakaran dalaman akan dihentikan, kerana itu bergantung kepada pelangan serta keadaan pasaran masing-masing,” kata Seeger.

Mercedes-Benz memberitahu, mereka melabur lebih 40 bilion euro untuk kenderaan elektrik antara tahun 2022 hingga 2030 untuk mempercepatkan rancangan EV mereka. Dengan portfolio elektrik lebih besar sedang diusahakan, mereka mensasarkan 50% penjualan kenderaan baru adalah daripada model dengan kuasa elektrik (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025. Menjelang 2030, dengan keadaan pasaran yang bersesuaian dengan peralihan kepada EV yang menyeluruh, 100% jualan adalah daripada kenderaan elektrik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required