Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) secara rasminya telah melancarkan model Hyundai Kona 1.6 Turbo, dan juga Kona N Line dengan enjin turbo yang sama. Kona 1.6 Turbo dijual pada harga RM146,888, sementara versi N Line yang lebih sporty pada harga RM156,888 — atas jalan dengan pengecualian SST (50% bagi CBU import), tidak termasuk insurans.

SUV segmen B paling berkuasa dalam pasaran tempatan ini dikuasakan oleh enjin Hyundai Smartstream G1.6 T-GDi turbocas yang menghasilkan 198 PS dan 256 Nm tork antara 1,600 hingga 4,500 rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan Smartstream 7DCT.

Dibanding dengan enjin 1.6T sebelum ini, Smartstream G1.6L dilengkapi ciri Continuous Variable Valve Duration (CVVD) dengan tambahan 21 PS kuasa. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.7 saat, 0.2 saat lebih laju berbanding Kona Turbo terdahulu. Kona facelift diperkenalkan di sini April lalu dengan enjin 2.0 liter MPI yang menjana 149 PS dan 180 Nm pada 4,500 rpm; versi turbo ini memberikan peningkatan kuasa yang banyak juga.

Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

Kona facelift tampil dengan dua wajah depan yang berlainan, dengan N Line mempunyai tampilan khusus tersendiri. Wajah depan biasa sebelum ini diberikan banyak sentuhan baru, antaranya dengan gril yang lebih kurus dan lebar, dengan logo Hyundai kini terletak di bahagian atas kawasan gril.

Hiasan plastik ala SUV pada badannya disambung dari bampar ke lengkung tayar, serta ada elemen warna perak di bampar depan dan belakang. Ini penampilan pada varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo, tetapi versi turbo turut menerima landasan bumbung dan juga warna badan dua-tona.

Daripada dua wajah yang berbeza ini, Kona N Line mewarisi wajah depan yang lebih mirip kepada yang asal, dengan logo terletak pada gril dan ada bukaan udara di bahagian atas gril, walaupun kini ia terbahagi kepada tiga. Di bawah, ada lip aerodinamik N serta sirip pada bucu bampar.

Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

N Line tidak dilengkapi dengan hiasan plastik hitam keliling badan, semuanya menggunakan warna badan yang sama keseluruhannya. Tiada kemasan yang menyerupai skid plate — bahagian belakang pula tampil lebih menarik dengan diffuser dan muncung ekzos berkembar untuk sebelah sisi.

Sama seperti 2.0 Active, kedua-dua model 1.6T dan N Line datang dengan rim aloi 18-inci, dengan rekaan yang lebih sporty tentunya. Varian baru ini boleh dipilih dalam lima-warna — Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Pulse Red dan Misty Jungle — semua dengan bumbung hitam (berserta tiang A dan perumah cermin sisi).

Di dalam, kedua-dua varian menerima kluster digital sebagai tambahan kepada head unit 8.0-inci dengan ciri Bluetooth dan Android Auto/Apple CarPlay, brek parkir elektrik, teknologi lampu suasana baru (termasuk pencahayaan ruang cawan dan kaki) serta gelung aluminium keliling pembesar suara dan corong udara.

Hyundai Kona 1.6L Turbo dan N Line 2021 dilancarkan di Malaysia — 198 PS, 265 Nm, 7DCT, dari RM146,888

Kabin N Line pula menampilkan kerusi balutan kulit hitam dengan suede, kerusi depan dengan liang untuk pemanas, jahitan merah, pedal logam dan logo N di beberapa tempat seperti di tuil gear dan stereng dan kerusi. HSDM juga menawarkan pilihan alternatif kepada ruang dalaman hitam bagi varian selain N Line, yang boleh juga diperoleh dalam warna cerah beige.

Varian baru Kona ini datang lengkap dengan teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Smartsense. Ini termasuk Penghindar Perlanggaran Titik Buta (BCA) dengan Bantuan Penghindar Litasan Trafik Di Belakang (RCCA), Bantuan Mengekalkan Lorong (LKA), Bantuan Ikut Lorong (LFA) dan Kawalan Melayar Pintar (SCC) dengan ciri Stop/Go yang membolehkan ciri SCC berkenaan kekal tidak terbatal walaupun kenderaan berhenti sepenuhnya.

Lain-lain ciri termasuk Bantuan Penghindar Perlanggaran Depan (FCA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (LVDA), Amaran Penumpang Belakang (ROA), Amaran Keluar Selamat (SEW) dan Bantuan Lampu Tinggi (HBA). Semua ini juga ada pada varian 2.0 Active, tetapi SCC hanya khusus untuk varian turbo sahaja.

Dengan tambahan dua varian terbaru ini, barisan Kona CBU bermula dengan yang paling asas 2.0L pada harga RM119,888, 2.0L Active pada harga RM136,888, dengan 1.6 Turbo pada harga RM146,888 (RM10k lebih mahal) dan N Line pada RM156,888 (juga naik lagi RM10k). Seperti selalu bagi HSDM, Kona datang dengan jaminan lima-tahun atau 300,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km.

Apa pandangan anda tentang varian terbaru Kona untuk pasaran tempatan ini? Harganya ok untuk sebuah SUV kecil atau terlalu mahal? Terutama untuk N Line, model mana lagi dalam segmen sama yang memberikan prestasi serupa?

Hyundai Kona 1.6L N Line 2021

Hyundai Kona 1.6L Turbo 2021

GALERI: Hyundai Kona 2.0 facelift 2021

GALERI: Hyundai Kona 2.0 Active facelift 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required