Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH/Kumpulan Tan Chong) telah melancarkan Program Vaksinasi COVID-19 TC pertamanya untuk para pekerjanya di seluruh negara baru-baru ini. Ia adalah di bawah Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), iaitu program vaksinasi yang dilancarkan oleh MITI untuk pekerja-pekerja di sektor pembuatan.

Menurut TCMH, setakat ini, 70% daripada pekerja-pekerja Tan Chong di seluruh negara telah divaksinkan (sama ada dos 1 atau dos 2) dan juga mengesahkan slot janji temu. Oleh itu, Program Vaksinasi COVID-19 TC akan memastikan semua pekerja dan ahli keluarga pekerja divaksinkan sepenuhnya sebagai langkah penting ke arah kekebalan kawanan serta pemulihan ekonomi negara. Program ini akan dilancarkan mulai Ogos 2021 melalui klinik tempatan atau di premis Tan Chong.

“Dalam perjuangan bersama menangani pandemik COVID-19, kesihatan dan keselamatan rakan sekerja, pelanggan dan masyarakat setempat tetap menjadi keutamaan kami. Kumpulan Tan Chong berkomunikasi secara berkala mengenai kepentingan menjaga dan mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan bagi mencegah virus.

“Kami berharap, program vaksinasi ini dapat mencapai pemberian vaksin sepenuhnya kepada kalangan tenaga kerja menjelang akhir September serta memberi perlindungan dengan harapan mereka dapat kembali bekerja dengan selamat. Kami bersedia untuk memulakan operasi perniagaan apabila dibenarkan,” kata Daniel Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Bhd.